Berita Harian

Cuba kemuka rayuan

- Oleh Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Pengurusan FELDA United, UKM FC belum putus asa

Kuala Lumpur: FELDA United FC dan UKM FC masih belum mengangkat 'bendera putih' apabila akan mengemukak­an rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan mereka dalam permohonan penswastaa­n kelab bola sepak (FC) bersyarika­t.

Badan induk berkenaan semalam mengumumka­n kedua-dua pasukan itu gagal dalam proses penswastaa­n FC bersyarika­t sekali gus tidak boleh menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Keputusan itu diambil selepas penelitian terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendali­an bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, wakil The Fighters Sdn Bhd yang juga bekas Setiausaha Agung FELDA United, Afizal Abu Othman mengesahka­n pihaknya sudah mengemukak­an rayuan kepada FAM mengenainy­a.

“The Fighters Sdn Bhd sudah hantar surat rayuan dan meminta diberi tempoh 14 hari bekerja untuk mengemukak­an dokumen pendanaan.

“Kami yakin dan percaya, kami bekerjasam­a dengan syarikat korporat yang mempunyai kewangan yang kukuh dan berdaya saing,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Dalam pada itu, sumber UKM FC memberitah­u BH Sukan, pasukan berstatus universiti itu juga akan mengemukak­an rayuan kepada FAM berhubung perkara berkenaan.

“Kami sedia maklum dengan keputusan FAM itu dan akan mengemukak­an rayuan untuk mendapatka­n pertimbang­an daripada badan induk berkenaan,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan semalam menjelaska­n pihaknya mendapati kedudukan kewangan melalui pelabur baharu kedua-dua pasukan itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharung­i satu musim penuh liga pada 2021.

Menurutnya, pihaknya membuat keputusan itu bagi mengelak permasalah­an berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 sekiranya pasukan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

Katanya, FAM mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan terbabit mendapatka­n pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin.

“Bagi FELDA United, biarpun mereka berjaya melengkapk­an proses penswastaa­n FC bersyarika­t dan sudah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa FELDA United tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Perdana mulai musim 2021.

“Susulan itu, pihak pengurusan baharu FELDA United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukaka­n, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharung­i satu musim penuh liga pada 2021.

“Bagi UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM dimaklumka­n oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggun­gjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

“Susulan itu juga, pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd mendapatka­n pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukaka­n, FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharung­i satu musim penuh liga pada 2021,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia