Berita Harian

Seri Paduka bertindak ikut Perlembaga­an

- Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabang­sa (IAIS) Malaysia

Pada Ahad minggu lalu, negara menyaksika­n satu keputusan terpenting dalam sejarah tanah air sejak merdeka. Yang di-pertuan Agong selepas bermesyuar­at dengan Raja-raja Melayu, tidak memperkena­nkan permintaan Perdana Menteri untuk perisytiha­ran darurat. Keputusan ini julung-julung kali berlaku di negara ini.

Walaupun keputusan ini disambut baik majoriti rakyat, sudah tentu ia mengejutka­n kerajaan. Pada pengamatan ahli undang-undang, Yang di-pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri seperti diperuntuk­kan dalam Perkara 40 (1) Perlembaga­an Persekutua­n.

Atas alasan itu, seorang peguam memfailkan kes memohon mahkamah untuk menentukan sama ada Yang di-pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara menolak permintaan Perdana Menteri untuk satu perisytiha­ran darurat pada Jumaat lalu.

Peguam ini memohon supaya mahkamah merujuk kepada Perkara 40 dan Perkara 150 mengenai hak serta kuasa Agong untuk membuat perisytiha­ran darurat selepas diminta berbuat demikian oleh Jemaah Menteri.

Beliau juga memohon mahkamah untuk menentukan keabsahan pindaan kepada Perkara 150 (8) yang memasukkan peruntukan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes selepas keputusan dibuat Yang di-pertuan Agong dalam perkara berkaitan darurat.

Secara umumnya, Perkara 40 (2) memperuntu­kkan Agong mempunyai budi bicara dalam tiga perkara. Pertama, perlantika­n seseorang sebagai Perdana Menteri pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen (tertakluk kepada Perkara 43 (1), (2) & (a)).

Kedua, tidak memperkena­nkan pembubaran Parlimen selepas diminta berbuat sedemikian oleh Perdana Menteri. Ketiga, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja membabitka­n keistimewa­an, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja dan apa-apa tindakan hasil daripada mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembaga­an.

Apa yang menjadi kesamaran dalam Perkara 40 (2) itu ialah peruntukan ‘dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembaga­an.’

Pakar Perlembaga­an dan perundanga­n berbeza pendapat dalam hal ini. Bagi mereka yang menyokong Yang di-pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri untuk mengisytih­ar darurat mengikut Perkara 150 adalah kerana Perkara 40 (2) memperuntu­kkan sedemikian.

Oleh itu, Yang di-pertuan Agong tidak boleh menolak permintaan perisytiha­ran darurat oleh Jemaah Menteri.

Bagi mereka yang berpendapa­t Yang di-pertuan Agong mempunyai budi bicara dalam perkara berkaitan darurat sama ada memperkena­nkan atau tidak, merujuk kepada peruntukan di hujung Perkara 40 (2) ‘dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembaga­an’ dan hak prerogatif baginda dalam memperkena­nkan permohonan perisytiha­ran darurat selepas berpuas hati atas keperluann­ya seperti diperuntuk­kan dalam Perkara 150 (1) dan (2).

Ini dikuatkan dengan kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1968. Mahkamah Agong dalam keputusan majoriti memutuskan Yang di-pertuan Agong boleh mengisytih­arkan darurat apabila baginda berpuas hati untuk berbuat demikian bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman.

Keputusan majoriti menyatakan baginda mempunyai kuasa mutlak dalam perkara berkaitan dengan darurat.

Ini bertepatan dengan ungkapan Almarhum Sultan Azlan Shah: “Seorang Raja itu tetaplah dia seorang Raja, tanpa mengira sama ada yang bersifat mutlak atau berperlemb­agaan. Yang membezakan­nya cuma Raja Mutlak memiliki kuasa yang tidak terbatas, manakala kuasa Raja Berperlemb­agaan pula ditakrifka­n di dalam Perlembaga­an.

“Tetapi adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa peranan Raja adalah seperti seorang Presiden yang tertakluk ketat kepada peruntukan Perlembaga­an sahaja. Peranan Raja mengatasi perkara di dalam Perlembaga­an.”

Bagi mereka yang menyatakan tindakan Yang di-pertuan Agong menyalahi Perlembaga­an kerana pada pengamatan mereka, baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti dalam peruntukan Perkara 40 (1) & (1A).

Tambahan lagi, hak budi bicara Yang di-pertuan Agong hanya dalam tiga perkara seperti disebut itu seperti diperuntuk­kan dalam Perkara 40 (2).

Mereka merujuk kepada kes Teh Cheng Poh pada 1979. Privy Council memutuskan bahawa mengikut konsep Raja Berperlemb­agaan sesuatu tindakan dibuat Yang di-pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri kecuali dalam perkara diberi dalam Perlembaga­an. Ini termasuk dalam perkara berkaitan darurat.

Privy Council juga memutuskan tindakan Yang di-pertuan Agong tidak boleh atas kehendakny­a sendiri, tetapi tertakluk kepada peruntukan dalam Perkara 40 (1) di mana baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Jadi, mengikut keputusan Teh Cheng Poh, Yang di-pertuan Agong hendaklah membuat perisytiha­ran darurat selepas mendapat nasihat Jemaah Menteri.

Persoalan seterusnya, apakah tindakan Yang di-pertuan Agong, Ahad minggu lalu itu, berlawanan dengan keputusan berkenaan? Apakah keputusan ini mengikat baginda?

Sebenarnya, Yang di-pertuan Agong bertindak mengikut Perlembaga­an dan tidak menyimpang daripada keputusan kes diputuskan di mahkamah. Keputusan dalam kes Teh Cheng Poh walaupun terkemudia­n dan pada lazimnya mengikat, tidak semestinya tidak tepat.

Tindakan Yang di-pertuan Agong tidak memperkena­nkan permintaan perisytiha­ran darurat adalah selari dengan keputusan kes Stephen Kalong Ningkan dan mengikut ketetapan Perkara

150 (1) bahawa baginda boleh membuat perisytiha­ran darurat selepas berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabka­n keselamata­n, kehidupan ekonomi atau ketenteram­an awam dalam Persekutua­n atau mana-mana bahagianny­a terancam.

Perkara 150 (2) memperuntu­kkan Yang di-pertuan Agong juga boleh bertindak sedemikian sebelum sebenarnya berlaku kejadian mengancam keselamata­n, kehidupan ekonomi atau ketenteram­an awam dalam Persekutua­n atau mana-mana bahagianny­a jika baginda berpuas hati kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Apa menghairan­kan, peguam itu memfailkan kes mempertika­ikan kesahihan tindakan Agong. Perkara 150 (8) (a) memperuntu­kkan tindakan Yang di-pertuan Agong muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar dan dipersoalk­an di mana-mana mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Tambahan pula, Perkara 150 (8) (b) memperuntu­kkan mahkamah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk dalam keputusan yang dibuat baginda dalam perkara berkaitan darurat.

Meskipun begitu, ada pihak mempertika­ikan kesahihan Perkara 150 (8) kerana ia dimasukkan selepas pindaan ini dibuat dengan memasukkan peruntukan tindakan Yang di-pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selepas kes Teh Cheng Poh diputuskan.

Mengambil ungkapan Sultan Azlan Shah dalam kupasannya, tindakan Yang di-pertuan Agong tidak semestinya apa tersurat dalam Perlembaga­an.

Ini dapat dilihat apabila baginda memanggil Raja-raja Melayu untuk sama-sama memberi pandangan sebelum mengambil satu-satu keputusan dalam perkara besar dan yang mempunyai implikasi besar kepada rakyat serta negara.

Kebijaksan­aan baginda memanggil mesyuarat khas Raja-raja Melayu dalam menangani isu ini adalah dialu-alukan walaupun tidak ada peruntukan jelas untuk berbuat demikian dalam Perkara 38 (Majlis Raja-raja).

Tambahan pula, membaca peruntukan dalam Perlembaga­an hendaklah secara holistik dan harmoni kerana sesuatu peruntukan berkait rapat dengan peruntukan lain.

Ia tidak boleh dibaca secara literal dan berasingan. Apa tersurat dalam Perlembaga­an juga perlu diambilkir­a.

Akhirnya, sesuatu tindakan Yang di-pertuan Agong dalam perkara berkaitan dengan darurat ialah hak prerogatif baginda dan tidak boleh dipertikai­kan mana-mana pihak termasuk dicabar mana-mana mahkamah.

Sebenarnya, Yang di-pertuan Agong bertindak mengikut Perlembaga­an dan tidak menyimpang daripada keputusan kes diputuskan di mahkamah. Keputusan dalam kes Teh Cheng Poh walaupun terkemudia­n dan pada lazimnya mengikat, tidak semestinya tidak tepat.

 ??  ??
 ??  ?? Kebijaksan­aan Seri Paduka memanggil mesyuarat khas Raja-raja Melayu dalam menangani isu berkaitan adalah dialu-alukan.
Kebijaksan­aan Seri Paduka memanggil mesyuarat khas Raja-raja Melayu dalam menangani isu berkaitan adalah dialu-alukan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia