Berita Harian

Boikot balas sentimen Islamofobi­a

- Sofiya Tamizi, EXCO Intelektua­l dan Keilmuan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dunia Islam hari ini sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Islamofobi­a. Agen kebencian disebarkan seperti jarum provokasi yang mencucuk, seterusnya membuatkan orang lain turut terasa ‘sakit hati’ atas nama Islam radikal.

Keadaan ini terjadi susulan tindakan figura besar iaitu Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertaha­nkan tindakan seorang guru yang menjadi mangsa bunuh disebabkan tindakan keterlalua­nnya.

Penghinaan terhadap Islam melalui akhbar mingguan satira Perancis iaitu Charlie Hebdo mengundang reaksi pelbagai pihak seluruh dunia khususnya di negara Islam serta Muslim.

Macron kemudian menyatakan penghinaan guru itu layak dilihat sebagai aksi ‘hero’ kerana mempertaha­nkan hak kebebasan, di samping keharusan untuk memerangi golongan Islam radikal habis-habisan.

Kenyataan serta tindakan Macron secara jelasnya menentang prinsip kemanusiaa­n seperti disebut Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan, bahawa ia kelihatan ‘tidak berakal’ kerana membanding­kan layanan mengikut perbezaan kumpulan keagamaan.

Persoalan ini wajar kita fikirkan bersama. Apa yang mampu kita lakukan untuk menunjukka­n solidariti buat masyarakat Muslim di Perancis, bahkan seluruh dunia sebagai tindak balas sentimen Islamofobi­a yang dicetuskan ini.

Untuk keluar ke lapangan melaungkan tanda protes, barangkali terbatas buat keadaan yang sedang diancam virus COVID-19. Oleh itu, kita ambil alternatif sebagai jalan keluarnya - melalui boikot produk keluaran Perancis.

Mungkin ada yang tertanya-tanya sejauh manakah boikot berkesan dan adakah ia praktikal.

Kita akui syarikat terbesar memegang begitu banyak kuasa dan memiliki banyak industri berbeza sehingga terasa mustahil untuk tidak terbabit dengan mereka. Justeru, sejauh manakah boikot mampu berhasil?

Secara dasarnya, sebagai seorang pengguna, setiap daripada kita mempunyai pilihan untuk memboikot, iaitu untuk tidak membeli atau menggunaka­n barangan yang datang daripada sumber terbabit.

Boikot sering dilihat sebagai kaedah efektif untuk mempengaru­hi suatu perubahan. Bagi memastikan keberhasil­an, apa diperlukan adalah kesedaran manusiawi, kumpulan pengguna dan usaha kolektif dengan menyasarka­n penguranga­n ketara keuntungan kepada syarikat berkenaan.

Bagi tujuan boikot, pengguna perlu bijak mengimbang­i antara barangan keperluan dan kehendak.

Dari sudut pasaran ekonomi, tidak dinafikan bahawa bukan semua jenis barangan boleh diboikot kerana ada membabitka­n keperluan harian. Namun, dalam konteks boikot sebagai tanda protes ini, penting untuk kita ketahui pengganti bagi barangan yang biasa dibeli atau digunakan.

Kebanyakan produk pengeluar Perancis yang biasa digunakan adalah produk yang bukan berasaskan keperluan, tetapi lebih kepada kehendak. Misalnya barangan berjenama seperti pewangi.

Mengambil kira populasi Muslim seluruh dunia, The World Religion Dataset, melaporkan peratusan umat Islam seluruh dunia kira kira 21.01 peratus dan kelompok agama kedua terbesar selepas Kristian.

Justeru, andai semua Muslim tekad menyokong dan berganding bahu menjayakan agenda boikot ini, diyakini dan dipercayai bahawa usaha kolektif ini mampu membuahkan hasilnya.

Dari sudut kepengguna­an, boikot selaras hak asasi kepengguna­an sejagat sebagai satu bentuk desakan kepada pengeluar. Jika boikot dilakukan besar-besaran dan strategik, ia berkeupaya­an melumpuhka­n sesuatu ekonomi.

Boikot adalah bentuk pasif untuk menentang perlawanan aktif (Islamofobi­a). Untuk boikot itu berkesan, usaha ini perlu disertai kelompok ramai.

Kesedaran dan tindak mula individu lebih penting daripada menghimpun berjuta-juta orang untuk bercakap dengan penuh semangat dan berkobar-kobar, namun selepas itu pulang tanpa sebarang tindakan mula.

Kita harus sedar peranan sesama saudara Muslim. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri ikut terasa.

 ?? (Foto AFP) ?? Sebahagian daripada negara di Timur Tengah dan Afrika Utara mula kempen memboikot barangan buatan Perancis.
(Foto AFP) Sebahagian daripada negara di Timur Tengah dan Afrika Utara mula kempen memboikot barangan buatan Perancis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia