Berita Harian

Kali pertama berdepan gempa bumi kuat di Turki

Amelina rasa gegaran luar biasa lima minit

- Oleh Rafidah Mat Ruzki fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Tidak sampai 10 minit Amelina Syifa Sharizaq Razak meletakkan beg di rumah rakannya di Cigli, Turki, iaitu kira-kira 40 minit dari kediamanny­a di Bornova, Izmir, dia mulai terasa pening dan terhuyung-hayang, pada tengah hari, Jumaat lalu.

Biarpun pernah berdepan gempa bumi di Turki sepanjang hampir enam tahun pengajiann­ya di negara itu, bagi Amelina, 26, itu kali pertama dia merasai pengalaman sedemikian.

“Ini kali pertama saya merasakan gempa bumi yang paling kuat hingga saya tak tahu nak buat apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Melihat keadaannya sedemikian, rakannya yang berbangsa Turki, segera mengajak Amelina keluar dari apartmen berkenaan.

Amelina berkata, sebaik keluar dari apartmen rakannya, dia melihat sudah ramai warga Turki berada di luar rumah masing-masing, selain ada yang menjerit meminta jiran turut keluar dari kediaman.

Beliau berkata, mereka berada di luar apartmen 10 tingkat itu selama beberapa jam kerana bimbang untuk masuk semula ke dalam rumah selepas gempa bumi yang pertama.

“Selepas kira-kira dua jam kemudian, terasa satu lagi gegaran tetapi tidak sekuat serta selama yang pertama. Sebelum ini kalau berlaku gempa bumi, gegarannya hanya beberapa saat, tetapi gempa bumi yang saya rasai tengah hari itu berakhir kira-kira lima minit,” katanya.

Amelina berkata, dia menghubung­i rakan serumahnya di Bornova untuk mengetahui keadaan apartmen yang disewa mereka di bandar itu dan bersyukur kediamanny­a terselamat walaupun Bornova dan Bayrakli menjadi antara bandar paling teruk terjejas dalam gempa bumi Izmir pada kekuatan 7.0 skala Richter itu.

Pelajar perubatan tahun kelima di sebuah universiti di Bornova itu mengakui, dia dan rakannya tidak berani tidur sepanjang malam kerana bimbang tidak terjaga jika berlaku gempa bumi lagi.

Katanya, dia turut memasukkan semua barang keperluan penting seperti air minuman dalam beg dan mengecas telefon bimbit serta meletakkan­nya berdekatan katil supaya mudah dicapai.

Beliau berkata, kerajaan Turki turut mengingatk­an warganya untuk bersedia keluar dari rumah masing-masing dan mencari perlindung­an jika berlaku gempa bumi lagi.

Amelina berkata, beliau hanya pulang semula ke rumah sewanya di Bornova, kelmarin.

“Ketika pulang, bas yang saya naiki juga tidak melalui jalan biasa, sebaliknya dipesongka­n ke laluan lain bagi membolehka­n kerja mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi dijalankan.

“Jadi saya tidak dapat melihat sendiri kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi itu. Pihak berkuasa juga menutup kawasan terjejas itu,” katanya.

Gempa sekuat 7.0 skala Richter yang melanda pantai barat Turki pada tengah hari Jumaat waktu tempatan, seperti yang dilaporkan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), turut dirasakan dari Istanbul ke Athens, Greece.

Turut terkesan dengan gempa bumi di Laut Aegean tu adalah Pulau Samos di Greece.

Sebelum ini kalau berlaku gempa bumi, gegarannya hanya beberapa saat, tetapi gempa bumi yang saya rasai tengah hari itu berakhir kira-kira lima minit.

Amelina Syifa Sharizaq Razak,

Pelajar

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia