Berita Harian

Sindiket dadah guna laluan laut tumpas, 12 ditahan

Polis lancar 9 serbuan di tiga negeri rampas syabu, ganja RM822,000

- Oleh Zuhainy Zulkiffli bhnews@bh.com.my

Georgetown: Polis menumpaska­n sindiket pengedaran dadah antarabang­sa menggunaka­n laluan laut selepas menahan 12 individu, termasuk seorang warga Thailand.

Dalam sembilan serbuan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, polis juga merampas kira-kira 495 gram syabu serta hampir 309 kilogram ganja bernilai RM822,000.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (Perisikan/operasi), Deputi Komisioner Zainudin Ahmad, berkata serbuan itu dilakukan oleh pasukan dari Bukit Aman, Pulau Pinang dan Perak pada 27 dan 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 22 hingga 46 tahun itu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada jam 11.15 malam 27 Oktober lalu membabitka­n penahanan kenderaan yang dipandu lelaki warga Thailand di Bagan Nyiur, Juru, Seberang Perai Tengah di sini.

Suspek membawa 15 bungkusan plastik hitam mengandung­i 313 ketulan mampat ganja.

“Serbuan seterusnya pada jam 11.45 malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, membabitka­n penahanan dua suspek lelaki dan wanita warga tempatan dengan rampasan syabu 495 gram.

“Susulan daripada penahanan itu, seramai sembilan lagi suspek ditahan pada serbuan di Seberang

Perai Tengah, di sini dan Kupang, Kedah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Zainudin berkata, polis juga menyita 15 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM1.5 juta, wang tunai berjumlah RM65,090 dan cincin bernilai RM500.

Katanya, suspek warga Thailand itu sudah lima tahun bekerja di restoran di sini dan membawa masuk dadah dari negara jiran menerusi laluan laut.

Beliau berkata, sindiket berkenaan mengedar dadah di Pulau Pinang, Perak dan Lembah Klang.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati empat daripadany­a positif methamphet­amine, manakala dua lagi positif Tetrahydro­cannabinol (THC).

“Lapan daripadany­a didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersangkut jenayah dan dadah.

“Semua suspek direman tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia