Berita Harian

Dr Maszlee umum tarik diri jawatankua­sa penaja PEJUANG

Tumpu usaha bantu rakyat atas tiket Ahli Parlimen Bebas

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, mengumumka­n menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bekas Menteri Pendidikan itu dalam kenyataan semalam berkata, beliau keluar daripada jawatankua­sa penaja parti yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Katanya, beliau mahu menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 atas kapasitiny­a sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi kerja kemanusiaa­n.

“Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Twitter miliknya, semalam.

Pada 7 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumka­n penubuhan PEJUANG yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Sehingga kini, PEJUANG masih belum diluluskan pendaftara­nnya oleh Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS).

Selain Maszlee, PEJUANG turut diasaskan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh;

Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan.

Maszlee Malik,

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Dalam kenyataan enam perenggan itu, Maszlee menjelaska­n, keputusann­ya meninggalk­an PEJUANG berdasarka­n dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi serta kehendak majoriti rakyat.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

“Rakyat mahukan ahli politik fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesai­kan masalah dihadapi mereka kini, ” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia