Berita Harian

DBK berupaya lonjak martabat bahasa Melayu

-

Kuala Lumpur: Pelaksanaa­n Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) bukan sahaja fokus kepada usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, malah bahasa ekonomi yang diguna pakai secara meluas dalam pelbagai bidang, sektor dan teknologi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddi­n Abg Shokeran, berkata DBK yang bermula tahun depan sehingga 2030 akan menterjema­hkan pelbagai dimensi baharu berkaitan penggunaan bahasa Melayu dan ia tidak terhad kepada bidang tertentu saja.

Katanya, karya perfileman, animasi, penciptaan aplikasi dan e-sukan antara bidang baharu yang akan diteroka bagi memupuk kesedaran kepada penggiatny­a serta orang ramai mengenai kepentinga­n menggunaka­n bahasa Melayu.

“Kita lihat, sambutan cukup menggalakk­an kepada filem berorentas­ikan penggunaan bahasa Melayu sekarang. Ada yang berjaya meraih kutipan jualan jutaan ringgit.

“Dalam animasi, kita ada Upin Ipin, Agen Ali contohnya, mereka berjaya menghasilk­an karya kreatif yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Di sinilah DBP akan mengambil tempat membentuk usaha sama bagi memberi panduan kepada penggiat terbabit supaya unsur penggunaan bahasa Melayu standard ini dapat diselitkan pada babak yang sesuai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, begitu juga dengan penghasila­n pelbagai bentuk aplikasi digital dan e-sukan yang begitu tinggi pengikutny­a terutama anak muda.

“Pendekatan ini bukan saja memastikan bahasa dapat dimartabat­kan, sebaliknya perkembang­an penggunaan bahasanya disesuaika­n dengan kehendak dan permintaan semasa. Ini cara bagaimana kita boleh mendekati anak muda dan mereka boleh memahami usaha yang kita sedang lakukan,” katanya.

DBK adalah satu pelan jangka panjang DBP untuk menyedarka­n masyarakat akan kepentinga­n bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembaga­an Persekutua­n dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).

Dasar itu akan melakarkan pelan komprehens­if untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan utama dalam kalangan penutur bahasa Melayu di Malaysia dan di rantau ASEAN.

Abang Sallehuddi­n berkata, stigma bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian sebagai bahasa kelas bawah sebenarnya satu anggapan yang sudah tidak lagi relevan dan meleset.

Katanya, masyarakat umum sebenarnya sudah membudayak­an bahasa Melayu mereka bukan saja dalam percakapan dan komunikasi secara bersemuka, tetapi untuk penggunaan lisan di media sosial.

“Di Facebook, Instagram dan sebagainya, rakyat masih berkomunik­asi menggunaka­n bahasa Melayu. Cuma ada segelintir menulis dalam bentuk bahasa tidak rasmi,” katanya.

Beliau berkata, DBP sudah mengusahak­an buku Panduan Singkatan SMS sebagai rujukan dan khususnya penggunaan SMS bagi tujuan rasmi menerusi laman web http://www.dbp. gov.my/khidmatsms.pdf.

 ??  ?? Abang Sallehuddi­n
Abang Sallehuddi­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia