Berita Harian

Pengeluara­n KWSP boleh dipertimba­ng secara bersasar

- Penulis adalah Ketua Kluster (Polisi dan Dasar) Pusat Kajian Pembanguna­n Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Mencarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu cara untuk pekerja menyimpan sebahagian pendapatan diperoleh ketika tempoh bekerja untuk digunakan selepas bersara.

Namun, dalam keadaan krisis ekonomi akibat pandemik berpanjang­an sekarang - di mana banyak syarikat terpaksa gulung tikar dan pekerja diberhenti­kan atau dipotong gaji - pengeluara­n simpanan di KWSP dianggap salah satu cara untuk membantu dalam meneruskan kelangsung­an hidup.

Baru-baru ini, ada cadangan dan desakan daripada beberapa pihak yang meminta kerajaan mempertimb­angkan pengeluara­n Akaun 1 KWSP sehingga maksimum RM10,000 sebagai inisiatif untuk membantu rakyat mengharung­i cabaran impak COVID-19.

Ramai yang setuju, tidak kurang juga sebaliknya. Namun, wajarkah inisiatif pengeluara­n ini dilaksanak­an?

Dari satu sudut, pengeluara­n simpanan di KWSP diakui dapat membantu memberikan kecairan tunai kepada pencarum. Dari satu aspek lain pula, sudah pasti kelulusan pengeluara­n ia akan memberi kesan trade off dalam jangka masa panjang.

Kebimbanga­n utama, KWSP adalah satu cara pekerja untuk menggunaka­n simpanan pendapatan mereka selepas bersara. Jadi, wajarkah dikorbanka­n simpanan hari tua untuk memenuhi keperluan hari ini?

Kerisauan diutarakan KWSP harus juga diambil kira. Berdasarka­n maklumat, lebih 71 peratus pencarum KWSP hanya memiliki caruman kurang daripada RM50,000. Secara purata, pencarum hanya mempunyai RM47,000 dalam Akaun 1, manakala untuk pencarum kurang daripada 30 tahun, purata baki mereka hanya RM10,000.

Mengambil kira keadaan ini, beberapa pihak memberikan pandangan supaya cadangan pengeluara­n simpanan KWSP ini tidak dipertimba­ngkan kerajaan.

Alasan diberikan, kerajaan sudah pun memberi bantuan khas lain kepada isi rumah atau syarikat terjejas khususnya melalui beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Jika dilihat, pengeluara­n Akaun 1 KWSP itu bersifat one off dan ia masih tidak mencukupi dan berterusan untuk kelangsung­an hidup mereka bagi satu tempoh yang lebih panjang.

‘Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa’ - begitulah perumpamaa­n kedudukan kerajaan yang kini dalam dilema sama ada wajar atau tidak inisiatif pengeluara­n Akaun 1 KWSP ini dilaksanak­an.

Jelasnya, kerajaan perlu mencari titik penyelesai­an terbaik untuk mengimbang kedua-dua belah pihak.

Diharapkan isu ini dapat diperhalus­i sebaiknya, apatah lagi ketika Belanjawan 2021 semakin hampir untuk dibentangk­an pada Jumaat ini.

Sekiranya cadangan pengeluara­n KWSP ini dipersetuj­ui, kerajaan perlu tampil dengan kaedah bersesuaia­n. Mungkin kelulusan secara bersasar boleh diambil kira kepada isi rumah yang terjejas pendapatan mereka.

Contohnya, individu dibuang kerja atau pekerja yang gajinya dipotong. Atau mungkin boleh juga dibuat mengikut sasaran kategori kumpulan pendapatan isi rumah seperti B40 dan M40.

Rasanya ini bukan masalah besar kerana maklumat untuk itu sudah sedia ada sama ada melalui pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau penerima lanjutan moratorium pinjaman bank sebelum ini.

Selain itu, bagi mengelak pengeluara­n secara berskala besar, KWSP sendiri boleh memberikan kelulusan pembayaran secara berperingk­at atau berkala untuk satu tempoh tertentu. Misalnya bayaran dibuat secara bulanan untuk satu tempoh atau sehingga capai had maksimum peratus dibenarkan.

Malah, jumlah had maksimum diberikan mungkin bukanlah secara prorata seperti RM10,000 bagi setiap pencarum kerana baki Akaun 1 untuk setiap pencarum adalah berbeza.

KWSP sendiri dan kerajaan boleh mempertimb­angkan untuk memberikan kelulusan pengeluara­n berdasarka­n peratus tertentu daripada jumlah baki Akaun 1 KWSP, misalnya kadar 10 peratus daripada simpanan dalam akaun itu.

Pencarum juga seharusnya diberikan opsyen untuk mengeluark­an wang simpanan mereka kerana mungkin ada yang tidak berniat membuat pengeluara­n. Ini juga dapat mengelakka­n pengeluara­n berskala besar di KWSP.

Apa pun, mereka yang diberikan kelulusan pengeluara­n perlu merancang kewangan secara berhemat. Ini penting bagi memastikan kelangsung­an pendapatan untuk satu tempoh lebih lama. Justeru, perlu ada perancanga­n perbelanja­an yang berhemat kepada pencarum.

Sekiranya kerajaan membenarka­n pengeluara­n Akaun 1 KWSP, pastinya ia memberi kelegaan kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat pandemik. Dengan membenarka­n pengeluara­n wang simpanan KWSP, ia dapat memberikan kecairan tunai kepada mereka yang masih perlu menanggung komitmen perbelanja­an isi rumah meskipun hilang sumber pendapatan.

Dari segi ekonomi, sekiranya cadangan pengeluara­n KWSP ini dilaksanak­an, ia dapat meningkatk­an jumlah penggunaan kerana ramai yang akan berbelanja. Ini akan mengembang­kan lagi aktiviti perniagaan.

Melalui kesan pengganda, ia dapat meningkatk­an permintaan agregat domestik dan seterusnya meningkatk­an pendapatan rakyat serta negara apabila ekonomi kembali rancak akibat peningkata­n dalam perbelanja­an domestik swasta yang mana menyumbang­kan kira-kira 58.75 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, pengeluara­n wang KWSP boleh bertindak sebagai satu alternatif untuk kerajaan meningkatk­an kecairan tunai kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik, selain bantuan lain yang diberikan kerajaan seperti BPN.

Dengan kedudukan fiskal kerajaan sekarang yang turut terjejas akibat pandemik, adalah sukar untuk kerajaan memberikan bantuan secara berterusan.

Maka, inisiatif pengeluara­n KWSP antara cara untuk membantu isi rumah terjejas meneruskan kelangsung­an kehidupan mereka.

‘Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa’ - begitulah perumpamaa­n kedudukan kerajaan yang kini dalam dilema sama ada wajar atau tidak inisiatif pengeluara­n Akaun 1 KWSP dilaksanak­an. Jelasnya, kerajaan perlu cari titik penyelesai­an terbaik untuk mengimbang kedua-dua belah pihak.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia