Berita Harian

Urus pembelajar­an maya elak jejas kesihatan

- Penulis adalah Pensyarah Universiti Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Masyarakat kini melihat COVID-19 dari pelbagai perspektif. Ada melihatnya sebagai ancaman memberi kesan kepada pendapatan bulanan isi rumah. Ada pula menyesuaik­an diri dengan gaya hidup baharu kerana banyak masa terluang untuk menyelesai­kan tugas dan kerja tertangguh.

Bagi pendidik, guru mahupun pensyarah, mereka mula berhadapan budaya baharu, iaitu pengajaran secara maya. Pelajar juga terkesan dengan perubahan mendadak ini.

Pelbagai faktor perlu diberi pertimbang­an untuk menjayakan pembelajar­an secara maya, namun masyarakat secara am sudah mula menerima dan selesa dengan pendekatan ini.

Tahap capaian dan kepantasan internet semakin memuaskan, manakala bahan pengajaran pula semakin mencukupi.

Namun kini, cabaran lebih besar menanti dengan memaksa pengajar memikul tambahan beban kerja jika dibandingk­an sebelum pandemik. Ini belum ditambah pelbagai tugasan lain dalam pentadbira­n dan penyelidik­an.

Pelajar mahupun pengajar, kedua-duanya bergelut dengan masa dan tenaga. Kesibukan ini menjadikan ramai mengabaika­n penjagaan kesihatan fizikal mereka.

Dalam pengajaran dan pembelajar­an secara maya, pendidik dan pelajar tidak terkecuali daripada cabaran fizikal. Puncanya duduk melebihi dua jam pada satu-satu masa, selain masalah penglihata­n akibat terlalu lama menggunaka­n komputer.

Pembelajar­an secara maya menuntut pendidik dan pelajar mengikuti jadual waktu kursus ditetapkan. Kebanyakan pelajar biasanya perlu mengikuti dua jam kuliah syarahan dan sejam kuliah tutorial. Ini bermakna tiga jam bagi setiap kursus.

Duduk terlalu lama atau sedentary position boleh mendatangk­an pelbagai akibat seperti kesan kepada postur badan, ketegangan otot, meningkatk­an risiko obesiti akibat kurang pergerakan dan menjejaska­n sistem penghadama­n.

Bagi mengelak kesan ini, pastikan kita tidak berada dalam posisi duduk berterusan selama tiga jam. Bahagikan masa setiap 20 hingga 30 minit dan masa senggang 10 minit untuk berehat dan regangkan otot.

Senaman regangan ringkas boleh dilakukan berdasarka­n saranan psikoterap­i, doktor ataupun senaman ringkas yang boleh didapati melalui enjin carian di internet.

Senaman regangan otot dapat menambah baik postur badan, meningkatk­an perjalanan darah, mengurangk­an ketegangan otot, meningkatk­an kecerdasan mental dan mengurangk­an risiko kecederaan.

Kesihatan mata juga tidak boleh dipandang ringan. Penggunaan komputer terlalu lama boleh menyebabka­n ketegangan dan keletihan mata.

Apa yang perlu dilakukan adalah mengaplika­sikan peraturan 20:20:20 iaitu 20 saat memandang ke arah lain sekurang-kurangnya 20 kaki setiap 20 minit masa melihat skrin komputer.

Peraturan 20:20:20 boleh diguna ketika waktu rehat 10 minit yang dinyatakan sebelum ini.

Selain itu, pelajar berhadapan cabaran menguruska­n masa ketika di rumah. Ada masanya pelajar perlu membantu keluarga dalam menguruska­n urusan harian rumah.

Kegagalan menguruska­n masa dengan bijak akan mengundang tekanan dan menjejaska­n kesihatan mental serta fizikal.

Pendidik juga perlu memainkan peranan supaya tidak membebanka­n pelajar dengan tugasan kursus yang terlampau banyak pada satu-satu masa. Rancang juga penyerahan tugasan kursus untuk pelajar.

Hingga kini, pandemik tidak menunjukka­n tanda akan berakhir pada masa terdekat. Namun, ia mengajar betapa berhargany­a hidup bersosial sesama kita.

Bersalaman, berpelukan dan bergurau senda sudah jarang kita lihat masa ini. Dengan itu, interaksi sesama manusia perlu dieratkan untuk memastikan pandemik tidak memberi kesan psikologi dan fisiologi untuk jangka masa panjang.

Semua pihak mampu bertindak secara holistik untuk memastikan pengajar dan pelajar sedia berhadapan sebarang situasi dengan efektif supaya dapat mengekalka­n kesihatan yang optimum.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia