Berita Harian

Johara tak bimbang persaingan tukang jahit

-

Gua Musang: Wanita Orang Asli yang pertama membuka kedai jahit di Kelantan, Johara Ibrahim, 42, tidak pernah rasa tergugat dengan persaingan daripada tukang jahit lain dari segi tempahan pakaian.

Sebaliknya, beliau yang membuka kedai menjahit pakaian wanita beroperasi lima tahun lalu sentiasa dikunjungi pelanggan pelbagai kaum khususnya daripada kalangan komuniti Orang Asli.

Katanya, kedai jahit yang dibina Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terletak di Rancangan Pengumpula­n Semula (RPS) Kuala Betis memberikan sumber pendapatan menampung keluargany­a.

“Saya belajar menjahit pakaian juga ditanggung JAKOA dan mampu menjahit pelbagai rekaan pakaian wanita mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, selain wanita Orang Asli yang membuat tempahan pakaian, ada juga penduduk bukan kalangan Orang Asli yang membuat tempahan dengannya terutama di sekitar Kampung Kuala Betis.

Tambahnya, beliau juga mempunyai kemahiran menjahit dengan menerima tempahan pelbagai jenis rekaan pakaian mengikut kehendak pelanggan sama ada moden atau tradisiona­l.

“Permintaan tempahan itu juga bergantung kepada keadaan dan lebih banyak pada musim perayaan hingga mencecah 100 pasang sebulan.

“Kini tempahan itu kurang dan paling banyak 20 hingga 40 pasang sebulan kerana terhalang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Johara berkata, beliau turut menjahit dan menjual pelitup muka sebagai pendapatan sampingan ketika perintah kawal pergerakan (PKP).

Katanya, beliau mempunyai seorang pembantu menjahit 50 pelitup muka sehari dan mendapat permintaan tinggi daripada penduduk Orang Asli di pedalaman.

Beliau berkata, walaupun ada juga menerima tempahan, tetapi tidak banyak seperti hari biasa sebelum ini dan pendapatan diperoleh sekitar RM3,000 sebulan.

“Saya nak lihat dulu selepas tamat COVID-19 nanti untuk membesarka­n kedai jahit dan jika ada sambutan lebih daripada biasa baru boleh berbuat demikian,” katanya.

Katanya, fesyen pakaian wanita yang lebih banyak diterima tempahan ialah baju kurung kerana wanita Orang Asli juga seperti wanita Melayu.

“Daripada 11 adik beradik, hanya saya seorang yang berminat dalam bidang jahitan dan semua mesin jahit diberi bantuan JAKOA,” katanya.

Johara menyiapkan pakaian

 ??  ?? tempahan pelanggan di kedainya di Kuala Betis.
tempahan pelanggan di kedainya di Kuala Betis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia