Berita Harian

Ketidakten­tuan pasaran lonjak harga emas

Komoditi dijangka melepasi paras RM278.26 segram

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Harga emas dijangka kekal kukuh melepasi paras AS$1,900 (RM7,888) seaun atau RM278.26 segram, disokong rentetan ketidakpas­tian termasuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini serta peningkata­n kes COVID-19.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya berkata, tahap keyakinan yang berkuranga­n terhadap kadar pemulihan ekonomi global selepas beberapa negara di Eropah kembali melaksanak­an perintah berkurung turut memacu harga emas untuk melepasi paras AS$1,900 seaun.

Dalam keadaan ketidakten­tuan pasaran, Malacca Securities melihat syarikat proksi emas sebagai metodologi lindung nilai.

Katanya, pada masa sama, Indeks Volatiliti CBOE (VIX) yang mewakili unjuran pasaran bagi 30 hari ke hadapan melonjak kepada hampir 40.0 dalam tempoh beberapa hari lalu, paras tertinggi sejak pertengaha­n Jun tahun ini.

“Persekitar­an kadar faedah yang rendah akan terus menguji selera pelabur ke atas emas sebagai satu pelaburan alternatif,” katanya dalam nota penyelidik­an.

Firma pembrokera­n saham itu berkata, Poh Kong Holdings Bhd yang menjadi antara pembekal dan pengedar barang perhiasan terbesar di Malaysia masih belum melihat sumbangan signifikan dalam perkhidmat­an membeli-belah secara maya ketika ini berbanding kedai fizikal.

“Meskipun pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), untung bersih Poh Kong kekal stabil bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2020, susut hanya 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM24.6 juta.

“Kami menjangka pendapatan syarikat meningkat pada tahun kewangan berakhir

31 Julai 2021 berikutan peningkata­n harga emas,” katanya.

Sementara itu, Tomei Consolidat­ed Bhd yang ketika ini memiliki 53 kedai dengan semuanya beroperasi di pusat beli-belah utama meraih lebih banyak trafik dalam segmen perniagaan runcitnya.

“Dari segi kewangan, pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020, untung bersih meningkat 41.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.8 juta meskipun pendapatan pada suku dikaji menyusut 43.8 peratus tahun ke tahun kepada RM78.1 juta.

“Margin yang meningkat menunjukka­n harga emas lebih kukuh.

“Kami jangka momentum pertumbuha­n yang berterusan pada separuh kedua berakhir 31 Disember 2020,” kata Malacca Securities.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia