Berita Harian

Korban Taufan Goni di Filipina meningkat 16 orang

-

Manila: Jumlah kematian akibat Taufan Goni, yang melanda selatan pulau Luzon di Filipina meningkat kepada 16 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pejabat Pertahanan Awam (OCD) di Bicol, wilayah paling teruk dilanda taufan di selatan pulau Luzon, dalam satu laporan semalam berkata, jumlah kematian meningkat kepada 16 orang, manakala tiga lagi masih hilang.

Goni 'Taufan Ganas' mula melanda Filipina subuh kelmarin, dengan angin kencang maksimum 225 kilometer sejam (km/j) ketika melanda pantai timur Filipina kelmarin.

Taufan Goni mencetuska­n banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Bicol, selain meninggalk­an kesan kemusnahan di 12 daripada 17 wilayah di Filipina.

Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ricardo Jalad, dalam taklimat media berkata, lebih dua juta orang daripada 12 wilayah terjejas akibat Taufan Goni.

Taufan Goni melanda berhampira­n wilayah yang dilanda Taufan Molave awal minggu ini, yang meragut 22 nyawa dan memusnahka­n infrastruk­tur serta tanaman.

Sementara itu, biro cuaca negara menyatakan pihaknya juga sedang mengesan Ribut Tropika Atsani, yang bergerak sangat pantas dari barat laut ke arah tengah Luzon.

Taufan dan ribut tropika yang kerap melanda Filipina dari Jun hingga Disember, meragut ratusan nyawa dan menyebabka­n kerugian berbilion dolar.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang sering dilanda bencana di dunia, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap dan kira-kira 20 taufan setahun yang menyebabka­n banjir serta tanah runtuh.

Filipina kehilangan 463 bilion peso (RM39.75 bilion) akibat kerugian bencana alam dari 2010 hingga 2019, menurut Lembaga Statistik Filipina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia