Berita Harian

Polis tahan dua lagi kaitan kes serangan di Nice

-

Nice: Penganut Katholik Perancis menyambut festival keagamaan All Saints kelmarin dengan kawalan keselamata­n ketat, ketika polis menahan dua orang lagi berkaitan serangan ke atas sebuah gereja di bandar Selatan Nice oleh lelaki bersenjata­kan pisau.

Tiga orang terbunuh akibat serangan Khamis lalu di Basilika Notre-dame, yang menurut pendakwa raya dilakukan oleh pemuda warga Tunisia yang baharu tiba di Eropah.

Insiden itu adalah serangan terbaru di Perancis yang digambarka­n kerajaan sebagai tindakan pengganas Islam selepas penerbitan kartun Nabi Muhammad oleh Charlie Hebdo, pada September lalu yang mencetuska­n kemarahan.

Di Nice, tiga lelaki dibebaskan daripada tahanan polis kelmarin selepas pihak berkuasa memutuskan mereka tiada kaitan dengan suspek penyerang, Brahim issaoui, menurut sumber rapat dengan siasatan.

Tiga lelaki masih ditahan termasuk seorang warga Tunisia berusia 29 tahun yang disyaki berhijrah bersama Issaoui dari tanah air mereka ke Perancis.

Bagaimanap­un, ketegangan itu tidak menghalang penganut Katholik ke gereja untuk menyambut festival All Saints di Nice, ketika pihak berkuasa membenarka­n pengecuali­an ketika perintah berkurung susulan penularan COVID-19.

“Saya khuatir, saya tidak takut untuk datang. Kita perlu menunjukka­n bahawa kita tidak takut dan kita ada di sini,” kata Claudia, 49 yang masih ke gereja kerana yakin dengan kehadiran tentera yang bersenjata.

Beliau mengikuti beberapa penganut lain masuk ke gereja yang dihadiri kira-kira 150 orang untuk memberi penghormat­an kepada ketiga-tiga mangsa.

Issaoui ditembak berapa kali oleh polis dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Penyiasat tidak dapat menyoalnya dan motifnya masih belum jelas.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, berkata Issaoui secara jelas pergi ke Nice untuk membunuh.

“Jika tidak, bagaimana kita dapat menjelaska­n bahawa dia bersenjata­kan pisau dan baharu saja tiba? Dia jelas tidak datang sekadar untuk mendapatka­n dokumennya,” kata Darmanin kepada akhbar Voix du Nord.

Penyiasat percaya Issaoui melakukan perjalanan ke Eropah melalui Pulau Lampedusa pada 20 September lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia