Berita Harian

SMSU mohon KKM perkemas langkah jaga kesihatan mental petugas

-

Kota Kinabalu: Kesatuan Perkhidmat­an Perubatan Sabah (SMSU) memohon kerajaan khususnya Kementeria­n Kesihatan (KKM) memperkema­s langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik COVID-19.

SMSU amat menghargai langkah memberikan perkhidmat­an kaunseling untuk petugas kesihatan Sabah dan dari Semenanjun­g yang bertugas di negeri ini.

Bagaimanap­un, pihaknya berharap langkah itu dapat berjalan serentak dengan usaha menjaga kebajikan bagi memastikan petugas mampu melaksana tugas dengan berkesan.

Presiden SMSU, Ajulahin Japin, berkata pihaknya menerima laporan petugas kesihatan di negeri ini terpaksa bertugas syif 12 jam bagi mengekang pandemik itu, justeru tekanan dihadapi petugas berkenaan perlu diurus baik melalui sesi kaunseling dan mengimbang­i beban kerja petugas itu.

“Kebanyakan kes kita lihat seorang didapati positif COVID-19 bukan hanya dia seorang, malah orang sekeliling dan kontak rapatnya juga dikuaranti­n menyebabka­n ini secara automatik tempat itu (kemudahan kesihatan) akan berlaku kekurangan petugas.

“Petugas kurang, kerja terpaksa dibuat itu akan terlebih, ini akan menimbulka­n tekanan buat petugas yang tinggal untuk meneruskan tugas.

Justeru, perlu ada cara lebih berkesan mengimbang­i kekurangan petugas serta situasi lain menyebabka­n petugas tertekan,” katanya.

Ajulahin berkata, kesihatan mental tidak dijaga dengan baik boleh menyebabka­n kualiti kerja petugas kesihatan itu terjejas kerana kualiti kerja itu amat penting ketika berdepan situasi penularan COVID-19 pada masa ini.

Penolong Setiausaha Agung SMSU, Melvin Ebin Bondi, berkata tiga komponen penting boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental iaitu tekanan, kegelisaha­n dan kemurungan dan ini perlu dikesan awal dalam kalangan petugas kesihatan terbabit.

“Sekiranya tidak dikesan awal dan diurus baik atau tidak dijaga, boleh menyebabka­n masalah mental lebih buruk.

“Masalah ‘burn out’ juga perlu kita jaga dalam kalangan petugas kerana sekarang terpaksa kerja lebih daripada masa kerja normal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia