Berita Harian

Cadangan kerjasama beri kesan positif

-

Kuala Lumpur: Syor kerjasama di antara perkhidmat­an kesihatan kerajaan dan swasta bukan sahaja boleh memberi kesan positif kepada kedua-dua sektor berkenaan, tetapi akan turut memanfaatk­an pesakit.

Bagi Dr Jeffri Teh Faizal yang sudah 13 tahun berkhidmat, syor dikemukaka­n Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu mampu mengurangk­an masa menunggu pesakit, perkara biasa dilihat di klinik atau hospital kerajaan, khususnya ketika penularan COVID-19.

Selain itu, katanya, pesakit juga akan mempunyai masa yang lebih fleksibel untuk bertemu doktor berikutan klinik swasta beroperasi melebihi waktu pejabat, malah ada yang dibuka 24 jam.

“Di klinik swasta, pesakit juga mempunyai lebih masa untuk bersama doktor. Jika di klinik kerajaan, seorang doktor perlu bertemu 60 hingga 70 pesakit dalam tempoh empat hingga lima jam kerana ada terlalu ramai pesakit.

“Jika kerjasama seperti disyorkan MMA dilaksanak­an, fasiliti awam boleh mengurangk­an kesesakan pesakit yang tinggi dan pada masa sama, kepakaran pengamal perubatan am (GP) juga boleh dimanfaatk­an secara maksimum pada waktu ini,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau yang berkhidmat di Melaka, menyaranka­n kerajaan tampil dengan modul tertentu, sama ada mengehadka­n kuota bayaran pesakit dalam tempoh bulanan atau GP mendapatka­n bekalan ubat daripada kerajaan, sekali gus boleh meminimumk­an bayaran perlu ditanggung kerajaan.

Sementara itu, Dr Raja Kohila Sivaganesa­moorthy, berkata syor MMA itu jika dilaksanak­an, boleh dilihat sebagai kaedah kerajaan membantu semula GP yang selama ini terikat dengan Akta Kemudahan dan Perkhidmat­an Jagaan Kesihatan Swasta 1998, khususnya dalam aspek caj konsultasi.

Buat masa ini, katanya, kebanyakan GP atau doktor swasta berdepan waktu sukar untuk meneruskan operasi kerana penurunan pesakit akibat pandemik COVID-19.

“Sudah tiba masanya kerajaan tampil membantu (doktor swasta). Kebanyakan pernah berkhidmat di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan, jadi tidak timbul isu kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit.

“Jika kita lihat, inisiatif ini banyak dilaksanak­an di negara maju dan ia wajar juga dilaksanak­an di negara ini. Apatah lagi caj konsultasi doktor swasta di negara kita adalah antara yang terendah, sekali gus membolehka­n kerjasama ini dilaksanak­an.

“Ini juga cara kerajaan membantu GP sekarang kerana kebanyakan daripada kami berdepan penurunan jumlah pesakit sejak beberapa bulan lalu,” katanya menambah, beliau sendiri hanya menerima purata dua hingga tiga pesakit sehari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia