Berita Harian

MMA minta kaji semula SOP saringan wajib pekerja asing

-

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Kementeria­n Kesihatan (KKM) meneliti semula garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung saringan wajib terhadap 1.8 juta pekerja asing.

Ia termasuk garis panduan membabitka­n pekerja positif COVID-19 yang disaring perlu diasingkan sementara menunggu untuk dibawa ke hospital bagi rawatan, selain prosedur lain yang didakwa tidak konsisten.

Presiden MMA, Prof Datuk Dr Subramania­m Muniandy, berkata ketika ini pekerja disaring perlu diasingkan di klinik sementara menunggu selama berjam-jam untuk menanti ketibaan ambulans membawanya ke hospital.

“Ini berikutan amalan SOP digunakan ketika ini, pesakit positif COVID-19 perlu diasingkan di klinik dan perlu menunggu ketibaan ambulans dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), iaitu suatu langkah tidak praktikal.

“Malah, terdapat kes pesakit perlu menunggu berjam-jam ketibaan ambulans berikutan bebanan kerja tinggi di PKD yang melambatka­n kedatangan ambulans.

“Justeru, kami mencadangk­an urusan pengangkut­an dapat dilakukan sendiri, sekali gus menyelamat­kan nyawa pesakit dengan membawa mereka ke hospital dengan segera,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Subramania­m berkata, untuk tujuan itu, pihaknya meminta KKM mengeluark­an SOP khusus supaya klinik dapat membawa sendiri pesakit ke hospital.

“Selain itu, MMA berasakan SOP yang memerlukan sampel positif COVID-19 dihantar ke hospital sebagai proses tidak perlu.

“Ini berikutan pelaksanaa­n prosedur tidak konsisten dan kriteria kuarantin serta notis penutupan klinik swasta menjadi masalah dihadapi berulang kali dan perlu ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata, MMA berulang kali menyuaraka­n masalah itu kepada KKM termasuk isu kakitangan klinik perlu menjalani kuarantin biarpun mereka bukan kontak rapat hingga mengakibat­kan banyak klinik terpaksa ditutup kerana ketiadaan petugas.

Katanya, jika SOP itu diteliti dan dilaksanak­an dengan baik, inisiatif Perkongsia­n Awam-swasta yang membabitka­n kira-kira 7,000 pengamal perubatan am atau doktor di klinik swasta yang dilatih KKM dari seluruh negara akan bertambah lancar.

“Ini sekali gus membolehka­n perkongsia­n data dapat dilakukan dengan berkesan bagi melengkapk­an usaha kementeria­n itu dalam mengawal penyebaran COVID-19 dalam negara.

“Ia berikutan pekerja asing di negara ini dikenal pasti sebagai keutamaan kumpulan untuk pemeriksaa­n COVID-19,” katanya

Dalam perkembang­an sama, Dr Subramania­m berkata, majikan perlu tahu kit Rtk-antigen yang mempunyai kelulusan import khas dan akses Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) bagi boleh digunakan.

“Klinik swasta juga perlu membuat penilaian awal dan menyimpan laporan perubatan pesakit yang menjalani saringan COVID-19 dan data mereka didaftar di bawah Sistem Maklumat Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya.

Beliau berkata, berikutan saringan COVID-19 dikomersil­kan secara meluas, kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada hal itu.

“MMA bimbang apabila ada syarikat yang menjalanka­n ujian calitan COVID-19 tetapi mereka tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Dr Subramania­m berkata, banyak pihak menjadi orang tengah dan mereka ialah ejen tidak berkaitan dengan kesihatan, tetapi mengendali­kan ujian terbabit.

“Saringan COVID-19 perlu dilakukan petugas profesiona­l atau pesakit boleh risiko tidak diingini, masalah kesihatan dan keputusan palsu berikutan pengendali­an ujian tidak dilakukan dengan betul,” katanya.

“MMA menggesa majikan supaya memeriksa pensijilan ujian dan memastikan syarikat berdaftar dengan KKM,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia