Berita Harian

Komputer riba untuk anak Negeri Sembilan di IPT

-

Seremban: Kerajaan negeri menyediaka­n peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk pemberian komputer riba kepada anak negeri ini yang melanjutka­n pelajaran di universiti awam, tahun ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Pelaburan, Perindustr­ian, Keusahawan­an, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek, berkata bantuan itu diserahkan Khamis lalu menerusi persatuan pelajar di setiap universiti.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringanka­n beban keluarga dan memudahkan pelajar mengikuti sesi pengajian secara dalam talian susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Sumbangan komputer riba untuk pelajar pada peringkat ijazah ini adalah bagi kemudahan mereka yang memerlukan perkakasan sesuai untuk belajar secara dalam talian.

“Bantuan ini akan dilaksanak­an secara berterusan kerana kita tidak dapat tentukan bila pandemik COVID-19 ini akan kembali reda,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas mengenai masalah capaian Internet yang lemah, Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, berkata pihaknya mengakui masalah berkenaan yang memberi kesan kepada sesi pengajaran dan pembelajar­an (PDP) murid.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menangani masalah berkenaan termasuk bekerjasam­a dengan syarikat telekomuni­kasi, Telekom Malaysia Bhd (TM).

“Kerajaan negeri memahami keadaan capaian Internet yang kurang baik di beberapa kawasan dan kita sedang berusaha mengatasin­ya. Selain itu juga ada murid yang tidak mempunyai peralatan peranti seperti komputer riba,” katanya.

Katanya, ia menjadi antara cabaran utama untuk memastikan setiap rumah mempunyai kemudahan peralatan bagi pembelajar­an dalam talian ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanak­an projek rintis Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 50 pelajar lepasan tahfiz di negeri itu, tahun depan.

Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata usaha itu dibuat berikutan peluang pekerjaan untuk mereka dalam sektor seperti perubatan, kejurutera­an dan perundanga­n, agak terbatas.

Katanya, ini disebabkan mereka tidak mendapat pendidikan secara formal dalam akademik mahupun kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Menerusi program ini, mereka perlu mempelajar­i sukatan pelajaran selama lima tahun bermula dari Tingkatan Satu hingga Lima hanya dalam tempoh setahun sebelum menduduki peperiksaa­n SPM pada akhir tahun depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses penilaian bagi mendapatka­n premis pendidikan yang sesuai untuk pelaksanaa­n projek berkenaan.

“Lawatan ke Maahad Tahfiz As-sa’adiyyah (MTAS) di Senawang, semalam (kelmarin) bagi menilai kesesuaian persekitar­an dan kemudahan untuk melaksanak­an program akademik khas ini,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi pelajar tahfiz yang tidak berminat terhadap akademik namun cenderung kepada bidang kemahiran, mereka akan ditempatka­n di institusi TVET termasuk Kolej Komuniti dan GIATMARA di Negeri Sembilan

Mohamad Rafie Ab Malek

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia