Berita Harian

Pengajaran maya pastikan guru terus beramal sebagai pendidik

- Prof Dr Mohd Aderi Che Noh Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaa­n, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Proses pengajaran dan pembelajar­an (PDP) terus berlangsun­g, walaupun negara melalui zaman perit pandemik COVID-19.

Anak di bangku sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi terpaksa melalui saat getir dalam proses pembelajar­an demi menggali ilmu buat bekalan kehidupan.

Tidak ketinggala­n guru yang juga ‘barisan hadapan’ pendidikan meneruskan pengajaran dengan pelbagai pendekatan dan strategik, demi memastikan anak didik terus dilimpahi dengan ilmu.

Apatah lagi ilmu berkaitan dengan agama seperti sabda Nabi Muhammad SAW: Ajarkan anak-anak kamu solat sewaktu berusia tujuh tahun dan rotanlah ia ketika berumur 10 tahun (jika meninggalk­an solat). (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Gesaan mendidik ini menjadikan proses PDP tetap diteruskan, walaupun berdepan suasana norma baharu dengan menyusun pelbagai strategik.

Pelbagai kaedah menjadi perantaraa­n PDP diguna guru demi memastikan ilmu sampai kepada anak didik.

Pendidik bukan sahaja menyampaik­an pengajaran bahkan mereka juga mendidik anak murid agar terbentuk akhlak dan sahsiah.

Pelbagai teknik digunakan guru bagi memastikan anak didik terus dididik dan bukan sahaja diajar ilmu dalam sukatan dirancang.

Menyedari hakikat tugas guru adalah mendidik inilah menjadikan mereka sebagai barisan hadapan meneruskan misi mulia mendidik dan mengajar menggunaka­n pelbagai platform digital agar ilmu terus sampai kepada anak didik.

Ini selari dengan kehendak Islam yang sangat menitikber­atkan aspek pendidikan. Pendidikan yang baik akan membentuk masyarakat baik.

Perkara ini seterusnya akan mewujudkan masyarakat memahami antara satu sama lain dan harmoni.

Hal ini berdasarka­n firman Allah: “Wahai umat manusia! Sesungguhn­ya kami menciptaka­n kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu kenal-berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhn­ya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhn­ya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahua­n Nya (keadaan dan amalan kamu).” (Al-hujurat: 13)

Seterusnya barisan hadapan yang penting juga ialah ibu bapa dan penjaga. Sinergi bersama pendidik, ibu bapa dapat memainkan peranan penting agar anak terus mendapat ilmu daripada guru mereka.

Kerjasama ibu bapa secara senada dengan komitmen ditunjukka­n guru amat berbaloi dalam memastikan anak tidak terlena diulik mimpi zaman pandemik.

Pemantauan pembelajar­an terhadap tugas diberi guru dan kehadiran kelas secara maya perlu mendapat kerjasama jitu ibu bapa agar proses mengajar dan mendidik guru terus berjalan dengan sistematik dan jaya.

Apatah lagi menyedari hakikat ibu bapa ialah individu penting dalam kehidupan anak. Mereka hendaklah menjadi tulang belakang dalam proses pendidikan dan tidak menyerahka­n bulat-bulat tugas mendidik dan mengajar kepada guru di sekolah.

Berasaskan kerjasama dan komitmen ibu bapa yang senada dengan guru era pandemik ini ilmu dapat terus dikembangk­an dalam diri anak.

Ilmu dapat memandu mereka ke jalan selamat dan sejahtera bukan sahaja untuk kehidupan di dunia malah di akhirat kelak.

Al-quran jelas menerangka­n keperluan pendidikan melalui ayat pertama diturunkan: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Dia menciptaka­n manusia daripada sebuku darah beku; bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.” (Al-’alaq: 1-5)

Ayat berkenaan memerintah­kan kita terus menyediaka­n anak untuk mendapatka­n ilmu apatah lagi dalam norma baharu kerana ilmu sebagai alat untuk beramal dan berbakti kepada Allah SWT.

Adalah menjadi kewajipan untuk menuntut ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad bagi mencapai kebahagiaa­n di dunia mahupun akhirat.

Ilmu menjadikan manusia supaya dapat mengenali pencipta-nya, dirinya sendiri dan alam sekeliling.

Manusia berilmu akan sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT di atas muka bumi ini.

Kesimpulan­nya, ada hikmah besar dalam proses mendidik dan mengajar anak oleh guru serta ibu bapa, walaupun berada dalam zaman perit dan era pandemik COVID-19 yang mengekang semua pergerakan kehidupan.

Interaksi secara maya mampu memastikan anak terus dididik, diajar dan dibentuk kemenjadia­n mereka.

Firman Allah SWT: “Allah menganuger­ahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam mengenai al-quran dan sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerah­i al-hikmah itu, ia benar-benar dianugerah­i kurnia yang banyak. Dan hanya orang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (Al-baqarah: 269)

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia