Berita Harian

Minggu Saham Digital dapat sambutan luar jangkaan

-

Permodalan Nasional Bhd (PNB) melakar sejarah tersendiri dalam pelan tranformas­inya dengan merombak Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ke format digital menerusi Minggu Saham Digital (MSD) untuk meningkatk­an tahap celik kewangan rakyat di negara ini sejajar dengan perkembang­an pesat teknologi dan digital.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata walaupun MSD berlangsun­g di platform digital, program yang diatur menyeluruh bagi membolehka­nnya mendekati dan berinterak­si dengan segenap lapisan rakyat dalam semua peringkat umur secara serentak di seluruh negara, berbanding penganjura­n MSAM secara fizikal yang hanya dikunjungi masyarakat setempat.

Beliau berkata, MSD diatur padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing dan meningkatk­an kefahaman masyarakat mengenai kepentinga­n simpanan dan pelaburan.

Katanya, dalam tempoh dua hari MSD berlangsun­g, sambutan yang diterima amat menggalakk­an dan di luar jangkaan.

“Liputan menerusi platform digital sangat meluas dan kukuh berbanding secara fizikal. Kalau kita buat di bandar, ia mencecah 100,000 hingga 200,000 (pengunjung).

“Namun kini, kami mampu mencapai angka itu dengan mudah, sekali gus menunjukka­n kuasa internet dan digital,” katanya kepada BH dan NST dalam temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.

MSD bersiaran setiap hari bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran Youtube rasmi MSD.

Penonton dapat menyaksika­n pelbagai program hibur didik dengan topik kewangan, pelaburan, keusahawan­an dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-sembang ASNB dan Asb-iclif MBA Masterclas­s Series.

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaburan mereka.

Mengulas pelan hala tuju teknologi maklumat (IT) lima tahun PNB, Ahmad Zulqarnain, berkata pelan itu dilaksanak­an untuk memperkema­s dan memperting­katkan sistem IT supaya operasi dalamannya lebih mantap dan berkesan dan pada masa sama mempermuda­hkan interaksi dengan pemegang unit serta masyarakat secara keseluruha­n.

Beliau berkata, menuju ke depan, PNB akan melabur lebih RM200 juta sebagai sebahagian pelan hala tuju IT yang dilaksanak­annya itu.

Katanya, mandat PNB adalah menjadikan pelaburan sangat mudah bagi Bumiputera dan rakyat Malaysia, yang mana pelaburan boleh dibuat dengan membuka akaun serendah RM10.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia