Berita Harian

‘Kurang cakap, fokus kerja’

Allahyarha­m A Ali tinggalkan legasi seni, sifat terpuji terus dikenang

- Oleh Shamshul Azree Samshir dan Zaidi Mohamad bhhip@bh.com.my

Kali terakhir arwah meminta saya menyiapkan lirik untuk beberapa penyanyi. Lapan bulan lalu, ada arwah meminta saya menghasilk­an lirik untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Habsah Hassan,

Penulis lirik

Andai ku tiada andai ku pejam mata,

Biar ku abadi cinta yang setia ini, Biarpun kau jauh sambutlah salamku, Kerana aku masih menyayangi.

Bait lagu dendangan kumpulan Alleycats, Sampaikan Salam Cintaku ciptaan Allahyarha­m A Ali dan lirik dihasilkan Allahyarha­m Juwie, bagai komposer terkenal era 1980-an itu mahu dikenang.

Bukan sedikit sumbangan Allahyarha­m A Ali terhadap pembanguna­n dunia muzik Malaysia terutama pop Melayu pada era 1980-an. Memiliki sentuhan tersendiri, A Ali membawa ciriciri kemelayuan dalam nuasa pop yang dicipta hingga menjadi trademark seniman hebat ini. Lagu ciptaannya seperti Sampaikan Salam Cintaku dendangan Alleycats, Rayuanku (Rohana Jalil) dan Diriku Terbelengg­u (Francissca Peter), misalnya, ‘kaya’ dengan melodi kemelayuan dengan lenggok dan pengkisaha­n cerita yang menjadikan karyanya berbeza daripada komposer lain.

Usah dinafikan impak besar lagu Menaruh Harapan ciptaan arwah untuk Zaiton Sameon hingga diangkat sebagai Juara Lagu 1987. Allahyarha­m A Ali boleh ‘membaca’ kisah hidup Zaiton, malah diakui sendiri penyanyi itu sehingga lagu itu menjadi cukup ‘besar’ dan menjadi rujukan dalam pencapaian karier Zaiton hingga hari ini.

Menyemak portfolio seni A Ali, ternyata karyawan ini low profile berbanding komposer lain pada era kegemilang­annya. Namun, hakikatnya, perjalanan A Ali dalam dunia muzik hebat.

Pada pertengaha­n 1970-an, A Ali pernah menganggot­ai kumpulan Sweet Charity, iaitu band rock yang diasaskan vokalisnya, Datuk Ramli Sarip dan teman-teman di Singapura. Band ini cukup berpengaru­h, malah, pada era kebangkita­n muzik rock pada 1980an, kumpulan seperti Search dan Lefthanded menjadikan Sweet Charity sebagai idola.

Arwah kemudian dipelawa menyertai kumpulan Kembara oleh Datuk M Nasir, seperti yang diceritaka­n kepada BH Online. Bermula sebagai peminat ketika arwah menjadi gitaris Sweet Charity, akhirnya M Nasir dan A Ali menganggot­ai kumpulan sama.

M Nasir mengaku A Ali adalah mentornya ketika mula-mula bertapak dalam dunia seni, lebih 40 tahun lalu.

Pada pertengaha­n 1980-an, A Ali yang berasal dari Johor Bahru, Johor, bergabung pula dengan John Goh menubuhkan kumpulan Pelangi yang popular dengan lagu Biarku Menjadi Lilin dan Aku Jambatan Buatmu.

Kelmarin, anak Allahyarha­m A Ali atau nama sebenarnya, Hamdan Atan, Norhuda berkongsi berita pemergian komposer itu yang didapati tidak sedarkan diri oleh ibunya, Latifah Khamis, kira-kira jam 8.30 pagi.

Norhuda dilaporkan berkata, arwah bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiann­ya ketika tidur pada usia 71 tahun, mengejutka­n.

Berkongsi kenangan bersama Allahyarha­m, Zaiton menyanjung jasa A Ali menjulang namanya dengan lagu Menaruh Harapan yang meraih Juara Lagu 1987. “Gandingan arwah dengan Habsah Hassan sebagai penulis lirik lagu itu cukup menjadi. Arwah cipta lagu Menaruh Harapan dengan menyelami pahit getir hidup saya.

“Dengan lirik dihasilkan Habsah yang saya anggap kakak, arwah menyelami kisah duka saya seperti berkahwin, bercerai dan macam-macam lagi,” katanya. Zaiton juga terkenang lagu

Masa Mengubah Segalanya ciptaan arwah yang juga menyentuh kisah pahit hidupnya.

“Seingat saya ada tiga lagu arwah cipta untuk saya. Sebuah lagi single, Rayuanku dendangan Rohana Jalil, pada mulanya diberikan kepada saya.

“Namun, saya tolak lagu itu dan sebabnya, biarlah rahsia,” kata Zaiton.

Sementara itu, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Francissca, cukup menyenangi sikap A Ali.

“Arwah berperibad­i baik dan mulia. Bagi saya, arwah tidak banyak cakap. Arwah fokus dengan kerja dan sentuhan seninya cukup berbisa,” katanya.

Tambah Francissca atau mesra disapa Fran, lagu Diriku Terbelengg­u ciptaan arwah dengan lirik dihasilkan Habsah, melonjakka­n populariti­nya pada 1988.

“Lagu itu ada nilai sentimenta­l kepada saya. Saat lagu itu diserahkan komposer Manan Ngah, saya sudah jatuh hati mendengar melodinya.

“Lagu ciptaan arwah bagai ada roh yang boleh menyelami hati dan perasaan saya sebagai penyanyi.

“Saya pula jenis ‘jiwang'’... Tidak dinafikan, lagu itu ada serba sedikit kaitan dengan pengalaman sendiri,” katanya.

Habsah teringat bagaimana mudahnya bekerja dengan arwah, selain Fauzi Marzuki dan Manan Ngah yang menjadi antara komposer yang sering bekerjasam­a dengannya.

“Arwah peramah, mesra dan tidak sombong. Sebenarnya, saya dan isteri arwah, Latifah ada ‘bau-bau bacang’.

“Kali terakhir arwah meminta saya menyiapkan lirik untuk beberapa penyanyi. Lapan bulan lalu, ada arwah meminta saya menghasilk­an lirik untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun, semuanya tidak sempat dibuat. Itulah komunikasi terakhir saya bersama arwah, lapan bulan lalu,” katanya. Bercerita mengenai lirik Menaruh Harapan, Habsah mula mengenali Zaiton secara rapat selepas karya berkenaan diangkat sebagai Juara Lagu 1987.

“Apabila menulis lirik, saya bertanya komposer siapa penyanyi, jantina dan usia. Daripada situ, saya akan sesuaikan lirik dengan penyanyi.

“Secara jujur, lagu Menaruh

Harapan sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Zaiton... Kebetulan sahaja kena dengan kisah hidupnya dan diterjemah­kan sebagai lagu percintaan,” katanya.

Habsah berkata, lirik itu berkisar motivasi diri dan bersifat kerohanian agar semua insan jangan mudah berputus asa dalam hidup.

“Setiap kali menghasilk­an lirik, saya tidak pernah menjangka sama ada lagu itu akan ‘meletup’. Kita buat lagu ini tanpa tahu atau mengerti selera pendengar,” katanya.

Sementara itu, Rohana yang popular dengan beberapa lagu ciptaan arwah seperti Rayuanku dan Resahku, terhutang budi kepada A Ali.

“Percaturan menjadi pilihan kedua menyanyika­n lagu Rayuanku memberi tuah kepada saya. “Lagu itu pada mulanya mahu diberikan kepada Zaiton. Lagu itu mudah dibawa tetapi bagi menjadikan­nya lebih sedap, saya diminta A Ali menambah lenggok seperti dendangan padang pasir,” katanya.

 ??  ?? Kenangan arwah bersama anggota kumpulan Kembara iaitu Zoul (kiri), S Sahlan (kanan) dan M Nasir pada sidang media Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya pada 2014.
Arwah bersama isterinya, Latifah.
Kenangan arwah bersama anggota kumpulan Kembara iaitu Zoul (kiri), S Sahlan (kanan) dan M Nasir pada sidang media Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya pada 2014. Arwah bersama isterinya, Latifah.
 ??  ?? Zaiton Sameon
Zaiton Sameon
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia