Berita Harian

Sultan Johor lancar Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahruwoodl­ands, pembinaan bermula awal 2021

Sistem Transit Rapid hubungkan Johor dengan Singapura dijangka siap akhir 2026

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurn­akan majlis pecah tanah projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubung­kan Johor Bahru dengan Singapura.

Majlis pecah tanah berlangsun­g di tapak bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda, semalam.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporatio­n Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.

Sultan Ibrahim turut berkenan menandatan­gani plak perasmian, disusuli simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di Bukit Chagar.

Majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan hampir 50 peserta di pelbagai lokasi berbeza di sini, Putrajaya dan Kuala Lumpur secara maya menerusi aplikasi zoom.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata, kira-kira 150,000 penumpang dijangka menggunaka­n RTS sehari, apabila ia dijangka beroperasi pada penghujung 2026 nanti.

Beliau berkata, jangkaan itu membabitka­n 50 peratus daripada 350,000 pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunaka­n laluan Tambak Johor, sehari.

Katanya, pembanguna­n RTS membabitka­n pembinaan ICQ Bukit Chagar setinggi empat tingkat serta hab pengangkut­an multimodel dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasa­n 1.49 hektar, manakala depoh di Wadi Hana membabitka­n keluasan 5.26 hektar.

Apabila siap nanti, beliau berkata, RTS akan menjadi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunka­n di negeri ini, sekali gus bakal mengubah landskap pengangkut­an bandar raya ini.

“RTS sejauh empat kilometer menghubung­kan antara ICQ Bukit Chagar dengan Stesen Woodlands North di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan, iaitu pembersiha­n tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

“RTS yang kos ditanggung Malaysia bernilai RM3.7 bilion itu bakal menggunaka­n lapan set tren dengan setiap satu set mengandung­i empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak seramai 250 pengguna.

“Masa perjalanan hanya lima minit dengan kekerapan tren 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya pada sidang media majlis pecah tanah RTS secara maya.

Mohd Zarif berkata, harga tiket masih belum ditentukan, namun harganya akan kompetitif dan mampu milik bagi pengguna.

Dalam perkembang­an sama, Mohd Zarif berkata, kontraktor Bumiputera dari Johor akan diberi peluang dalam pembinaan projek RTS yang membabitka­n agihan sebanyak RM800 juta.

“Ia membabitka­n 40 peratus daripada jumlah keseluruha­n RM2 bilion bagi pembinaan RTS.

“Pengumuman untuk peluang kepada kontraktor Bumiputera dari Johor dijangka diumumkan EXCO Kerajaan Johor, minggu depan,” katanya.

Projek pembinaan infrastruk­tur dijangka mula dibina secara berperingk­at mulai awal 2021 selepas selesai penyerahan tender.

 ??  ??
 ?? (Foto FB Sultan Johor /BH) ?? Sultan Ibrahim berkenan menyempurn­akan majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukitseren­e, Johor Bahru, semalam.
(Foto FB Sultan Johor /BH) Sultan Ibrahim berkenan menyempurn­akan majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukitseren­e, Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia