Berita Harian

Kerjasama, sokongan sosial cegah bunuh diri

- Khairuqist­ina Khairi Khalid, Universiti Utara Malaysia

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 800,000 orang mati kerana bunuh diri setiap tahun. Data daripada badan dunia itu menunjukka­n satu kematian akibat bunuh diri berlaku dalam setiap 40 saat.

Angka itu meningkat secara beransur-ansur sehingga menjadi antara penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Oleh itu, Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia dianjurkan Internatio­nal Associatio­n of Suicide Prevention (IASP) bersama WHO sejak 2003 sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada semua generasi bahawa bunuh diri ini mampu dibendung.

Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia bertujuan meningkatk­an kesedaran bahawa bunuh diri dapat dicegah, pendidikan mengenai bunuh diri, menyebarka­n maklumat mengenai kesedaran membunuh diri dan mengurangk­an stigma bunuh diri.

‘Bekerjasam­a Untuk Mencegah Bunuh Diri’ dipilih sebagai tema tahun ini dan digunakan selama tiga tahun berturut-turut. Ini menunjukka­n kerjasama sebagai elemen penting bagi semua pihak untuk mengelakka­n kejadian bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

Pandemik COVID-19 mewujudkan persekitar­an dunia yang memudaratk­an kesihatan mental dan menjadikan ini waktu paling mustahak untuk fokus kepada pencegahan bunuh diri.

Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2020 disambut dengan menyebarka­n maklumat mengenai pencegahan bunuh diri melalui platform media sosial.

Di Malaysia, antara usaha kerajaan menangani isu bunuh diri adalah menerusi inisiatif Jabatan Peguam Negara yang mengkaji undang-undang mengenai kesalahan persubahat­an dan cubaan bunuh diri.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, tindakan mengkaji undang-undang itu mampu memberikan sinar kepada pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental supaya bersifat terbuka untuk mendapatka­n rawatan dan menerima pemulihan tanpa stigma.

Nilai suatu kerjasama boleh diumpamaka­n bagai aur dengan tebing yang harus dipraktikk­an oleh setiap strata sosial di negara kita meliputi individu, keluarga, masyarakat dan kerajaan di sesebuah negara bagi membendung isu bunuh diri yang semakin berleluasa di seluruh dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia