Berita Harian

PAS mohon maaf kepada Sultan Perak kerana tidak menghadap baginda seperti dititahkan

Tiga ADUN utus warkah secara rasmi akui kekhilafan tak menghadap

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Balqis Jazimah Zahari bhnews@bh.com.my

Ipoh: PAS Perak menzahirka­n permohonan ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap seperti yang dititahkan baginda, Selasa lalu.

Pesuruhjay­a PAS Perak, Razman Zakaria, berkata parti itu sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak dan menumpahka­n taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Nazrin.

“Kami dengan rasa rendah hati menzahirka­n permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagai mana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Disember jam 3 petang,” katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubunga­n PAS Perak, semalam.

Sehubungan itu, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata beliau dan dua lagi wakil rakyat PAS Perak iaitu Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah) mengutus warkah secara rasmi bagi memohon maaf kepada Sultan Nazrin, petang semalam.

Selasa lalu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memberitah­u pemberita di luar Istana Kinta di sini, Sultan Nazrin sudah menitahkan wakil daripada PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya menghadap baginda.

Dalam perkembang­an berkaitan, Razman berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menghantar permohonan untuk menghadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.

Beliau juga mengesahka­n surat tersebar di media sosial berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk menghadap Sultan Nazrin adalah benar.

“Petang ini juga kita hantar (surat ke istana). Tunggu jawapan dari istana (untuk Abdul Hadi mengadap).

“Surat (permohonan menghadap (Abdul Hadi) sudah sampai (istana),” katanya, tetapi tidak menyatakan sama ada permohonan menghadap Abdul Hadi berkaitan dengan permohonan ampun parti itu.

Sebelum ini, Razman memaklumka­n keputusan pembatalan menghadap itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti, manakala BERSATU tidak hadir kerana belum menerima titah menghadap secara rasmi.

Ditanya mengenai jawatan EXCO Perak, Razman berkata, senarai nama wakil daripada ADUN PAS sudah diserah kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Sudah ada dengan Menteri Besar (nama ADUN PAS),” katanya.

Kelmarin, ketika istiadat angkat sumpah jawatan EXCO negeri di Istana Iskandaria­h, Kuala Kangsar, tiada ADUN PAS dalam senarai awal yang dilantik sebaliknya hanya membabitka­n empat ADUN UMNO dan seorang BERSATU. Dalam pentadbira­n sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai EXCO.

Sementara itu ketika dihubungi, Annuar mengesahka­n Istana Perak sudah menerima surat permohonan Abdul Hadi untuk menghadap Sultan Nazrin, tetapi tidak menyatakan tarikh untuk Presiden PAS itu menghadap.

“Untuk makluman, setakat ini Abdul Hadi belum mendapat kebenaran untuk menghadap Tuanku,” katanya.

Kami dengan rasa rendah hati menzahirka­n permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagai mana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Disember jam 3 petang.

Razman Zakaria, Pesuruhjay­a PAS Perak

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia