Berita Harian

‘Lantikan EXCO bergantung perkenan istana’

-

Ipoh: Pelantikan wakil rakyat PAS sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bergantung perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata beliau akan mencadangk­an nama lima lagi ADUN untuk mengisi barisan 10 EXCO kepada Sultan Nazrin, selepas lima mengangkat sumpah kelmarin.

Saarani berkata, lima kekosongan kerusi EXCO itu akan dipenuhkan apabila tiba masanya.

“Kita akan penuhkan ia seperti sebelum ini, akan tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.

“Sebagai Menteri Besar saya hanya boleh mencadangk­an nama EXCO, hak mutlak memperkena­nkan cadangan dan pelantikan EXCO adalah Sultan Perak dan selepas diperkenan nama berkenaan baru pelantikan dibuat,” katanya mengulas pertanyaan sama ada ADUN PAS antara lima lagi yang akan dilantik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perak Ke-14, semalam.

Saarani berkata, pihaknya juga akan membuat kajian berhubung portfolio yang dipegang EXCO sebelum ini.

“Itupun saya akan buat kajian semula sebab berasaskan kepada sembilan bulan yang lalu sudah tentu kita akan membuat kajian mengenai kesesuaian.

“Mungkin ada pengubahsu­aian kepada portfolio dipegang bagi tujuan pembaikan, kalau ada apa-apa kelemahan dalam tempoh sembilan bulan lalu,” katanya.

Kelmarin, BH melaporkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan EXCO di Istana Iskandaria­h.

Mendahului senarai adalah ADUN Sungai Manik yang juga Setiausaha BERSATU Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin diikuti empat ADUN UMNO iaitu ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Pada sidang media sama, Saarani berkata, beliau mahu memberi jaminan bahawa rakyat Perak selamat dan mereka tidak perlu berasa hilang tempat bergantung kepada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri akan membuktika­n kepada rakyat kemelut politik seminggu lalu tidak menjadikan pemimpin hilang fokus.

“Selepas majlis angkat sumpah EXCO, saya dan pegawai kerajaan kembali ke Ipoh dan bermula jam 8.30 malam semalam (kelmarin), kami mengadakan mesyuarat berkaitan Bajet 2021 yang akan kita bentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri, Rabu ini.

“Insya-allah kita akan berusaha sedaya upaya untuk memberi fokus memberi perkhidmat­an kepada rakyat. Paling penting ialah memastikan kebajikan rakyat negeri Perak ini terbela,” katanya.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Perak berkata, mesyuarat EXCO pertama akan diadakan Isnin ini dan diikuti pertemuan bersama 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi sesi taklimat belanjawan tahun depan.

“Kita juga sudah putuskan semalam, sesi penggulung­an pembentang­an bajet hanya dilakukan oleh Menteri Besar,” katanya.

Mengenai perasaanny­a pada hari pertama sebagai Menteri Besar, Saarani berkata, beliau mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

“Sudah tentu ada perkara yang perlu saya dapatkan penjelasan, nasihat, pandangan daripada ketiga-tiga pegawai ini. Pada petang nanti (semalam) insya-allah saya mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan jabatan kerajaan negeri,” katanya.

Saarani (kiri) beramah mesra

 ??  ?? Ridzuan, semalam. bersama penjawat awam ketika hadir memulakan tugas di Bangunan Perak Darul
Ridzuan, semalam. bersama penjawat awam ketika hadir memulakan tugas di Bangunan Perak Darul

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia