Berita Harian

‘Segera ubah, tambah baik sistem politik’

-

Kuala Lumpur: Perubahan dan penambahba­ikan sistem politik di negara ini perlu dilakukan segera supaya permainan politik atas dasar menjaga kepentinga­n ahli politik dapat dihentikan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata antara yang utama adalah menggubal undang-undang seperti Akta Pelucutan Ahli Parlimen untuk memelihara mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya.

Selain itu, katanya, membataska­n kuasa lantikan ahli politik dalam badan tertentu seperti badan berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak munasabah dan boleh dilihat sebagai sogokan politik demi mendapat sokongan.

Muhammad Faisal berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menegur dan dukacita dengan situasi politik tidak menentu dan digariskan baginda sebagai sejarah kegagalan pemimpin politik adalah mesej jelas bagi usaha perubahan itu.

“ABIM bersama seluruh rakyat Malaysia turut berkongsi rasa dukacita itu kerana usaha kebajikan rakyat seolaholah ditenggela­mkan permainan politik tanpa batasan.

“Justeru, semua pihak termasuk Ahli Parlimen umumnya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak khususnya harus bersama-sama mengangkat agenda perubahan sistem politik yang lebih baik bagi menghentik­an sebarang bentuk penyalahgu­naan kuasa daripada terus berlaku.

“Perubahan ini harus dilakukan segera agar rakyat tidak lagi putus harapan kepada amalan demokrasi di negara ini kerana ia adalah asas utama kestabilan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Sultan Nazrin bertitah, pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 di Perak, bukannya kejayaan dan sejarah yang mahu dibanggaka­n.

Baginda bertitah, perkara itu akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan kepimpinan politik mendapatka­n sokongan padu.

Titah baginda, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediaka­n keperluan dan perkhidmat­an, membantu meningkatk­an taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial.

Muhammad Faisal berkata, semua pemimpin politik juga harus bermuhasab­ah berhubung situasi krisis kepercayaa­n rakyat yang semakin menebal terhadap institusi politik ketika ini.

Perubahan ini harus dilakukan segera agar rakyat tidak lagi putus harapan kepada amalan demokrasi.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden ABIM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia