Berita Harian

NGO minta SPRM siasat isu kartel daging import

-

Putrajaya: Dua badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam bagi menyerahka­n memorandum untuk menyiasat isu kartel daging import yang berkemungk­inan ada unsur rasuah.

Penyerahan memorandum oleh Gagasan Baru Harapan Malaysia (GBHM) dan Persatuan Kebajikan Anak Bersatu Selangor (PKABS) itu turut meminta SPRM menyiasat 11 tuntutan yang diberikan.

Presiden GBHM, Mohd Zulfitri Mohd Basir berkata, tindakan itu diambil bagi membawa suara dan kebimbanga­n masyarakat terutama yang beragama Islam susulan status halal daging import dipasarkan di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga beranggapa­n terlalu banyak kemusykila­n dalam kes ‘kartel’ daging yang tidak dijawab secara telus oleh pihak berkuasa yang terbabit.

“Sehingga kini tiada tangkapan dan pendakwaan yang dibuat terhadap sindiket berkenaan dengan alasan pihak berkuasa sedang mengumpulk­an maklumat.

“Jadinya, kami percaya wujud ketirisan dan pembabitan unsur rasuah dalam kalangan pegawai unit penguatkua­sa sehingga daging import haram sebanyak itu dapat diseludup dan diedarkan ke seluruh negara.

“Setelah isu kartel dimainkan sejak bertahun-tahun, tiada satu pihak mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah. Hari ini, kami (GBHM) bersama dengan PKABS sepakat menghantar memorandum mengandung­i 11 desakan kepada SPRM untuk siasat siapakah dalang di sebalik sindiket kartel sehingga daging import ini tersebar luas di seluruh negara,” katanya sebelum menyerahka­n memorandum berkenaan kepada SPRM, di sini, semalam.

Mohd Zulfitri berkata, pihaknya juga percayai sindiket berkenaan sudah lama beroperasi di negara ini, justeru mahu SPRM menyiasat isu berkenaan kerana ia membabitka­n kegusaran awam dan menghina agama Islam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia