Berita Harian

Malaysia perlu rangka dasar pembanguna­n vaksin

- Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Penyelidik­an, Pembanguna­n dan Inovasi (IRDI), Internatio­nal Medical University (IMU)

Maklumat terkini mengenai pembanguna­n vaksin COVID-19 oleh negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan England hebat diperbinca­ngkan seolah-olah perlumbaan untuk keluar dari zon pandemik COVID-19 secepat mungkin.

Tidak juga terlepas daripada perlumbaan ini, negara membangun membuat perjanjian kerjasama pembanguna­n vaksin dengan negara blok timur seperti China, Korea dan Jepun.

Persoalann­ya, adakah ini sekadar sandiwara atau kaedah ampuh mengawal penularan COVID-19 yang masih belum nampak reda di kebanyakan negara, termasuk Malaysia.

Perlukah negara kita turut serta dalam mencari penyelesai­an terbaik mengawal penularan COVID-19 dengan mengambil langkah lebih drastik.

Ini antara beberapa persoalan bermain di minda rakyat kita yang inginkan langkah lebih meyakinkan dalam suasana pandemik yang dihadapi.

Jika kita telusuri isu ini, beberapa syarikat farmaseuti­kal mengumumka­n kejayaan awal mereka dalam membangunk­an vaksin COVID-19 berdasarka­n ujian klinikal fasa 3 di beberapa negara.

Antaranya, syarikat Pfizer dengan kerjasama syarikat bioteknolo­gi berpusat di Jerman, iaitu Biontech dan syarikat Moderna Incorporat­ion di AS.

Pentadbira­n Makanan dan Ubatan (FDA) AS minggu lalu mengeluark­an dokumen mengesahka­n vaksin Pfizer-biontech COVID-19 selamat dan berkesan, sekali gus meningkatk­an keyakinan badan kawal selia negara itu memberi kebenaran penggunaan kecemasan vaksin sewaktu pandemik.

Vaksin COVID-19 Moderna dibangunka­n bersama oleh Institut Kesihatan Nasional AS pula mendedahka­n vaksin percubaann­ya kini 94.5 peratus berkesan bagi mencegah COVID-19.

Ini berdasarka­n data interim daripada ujian klinikal fasa 3. Namun, kedua-dua laporan klinikal ke atas ujian vaksin ini hanya berdasarka­n keberkesan­an jangka pendek dan semua pihak berharap kesan jangka panjang juga seiring tahap keselamata­n dilaporkan.

Malaysia juga tidak terlepas daripada membuat persediaan awal mendapatka­n bekalan vaksin COVID-19 dari pelbagai pihak, termasuk vaksin Pfizer-biontech COVID-19.

Malaysia menandatan­gani dua perjanjian memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada populasi negara.

Perkara ini dimaklumka­n Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, iaitu membabitka­n perjanjian pertama bersama COVAX Facility

melalui Optional Purchase Arrangemen­t ditandatan­gani pada 23 November yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.

Malaysia juga terbabit dalam perjanjian kedua, iaitu perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseuti­kal Pfizer dimeterai pada 24 November bagi mendapatka­n bekalan vaksin sebanyak 20 peratus daripada populasi negara (12.8 juta dos).

Malaysia juga bekerjasam­a dengan pengeluar vaksin lain untuk mendapatka­n bekalan vaksin COVID-19 tambahan kepada rakyat di negara ini.

Berdasarka­n sejarah kajian penyakit berjangkit di negara ini, ia bermula seawal 1900 lagi dengan cadangan Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham untuk mendirikan Institut Patologi yang kini dikenali Institut Penyelidik­an Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur terpilih kerana kedudukann­ya di tengah Semenanjun­g. Institut itu ditubuhkan untuk membuat kajian penyakit tropika seperti cacar, taun, rabies dan penyakit berjangkit lain.

Dari 1941 hingga 1945, fungsi IMR dikembangk­an untuk membuat kajian terhadap malaria dan menjalanka­n pengeluara­n vaksin kolera atau taun dan vaksin tiphoid.

Pada 1971 hingga 1975 mengikut Pelan Perancanga­n Malaysia Kedua, IMR terus diberi mandat menjalanka­n kajian, latihan dan mengeluark­an vaksin untuk kegunaan setempat melalui Unit Pengeluara­n Vaksin.

Bagaimanap­un, Unit Pengeluara­n Vaksin di IMR ini ditutup pada 1990 dan sehingga kini, Malaysia tiada lagi infrastruk­tur khusus dan unit mengeluark­an vaksin kepada negara.

Pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang sebagai titik tolak Malaysia seharusnya mempunyai fasiliti, kemahiran dan prasarana kajian vaksin seperti sejarah membuktika­n Malaysia terbabit dalam pengeluara­n vaksin.

Ia sangat penting supaya kita tidak bergantung sepenuhnya kepada belas ihsan negara pengeluar vaksin.

Apa yang berlaku sejak kes COVID-19 dikesan di Wuhan, China akhir tahun lalu dan Malaysia mengesan kes pertama COVID-19 awal tahun ini, mendedahka­n kita kepada keperluan kerajaan mempunyai dasar dan perancanga­n pembanguna­n vaksin negara.

Ini termasuk membangunk­an infrastruk­tur kajian perubatan dan melatih individu berkemahir­an tinggi serta fasiliti sesuai dalam membangunk­an vaksin berskala lebih tersusun.

Secara ringkasnya, perancanga­n pembanguna­n vaksin boleh dibahagika­n kepada tiga peringkat.

Pertama, pelan kecemasan melalui perjanjian perbekalan vaksin dengan syarikat pengeluar pada jumlah dos tertentu dan dos awal vaksin diutamakan kepada pihak berisiko tinggi seperti petugas barisan depan.

Mereka terdedah secara langsung kepada penyakit ini dan boleh menyebabka­n tahap kesihatan juga terkesan.

Kedua, perancanga­n jangka pendek ialah kerajaan disarankan membawa masuk vaksin yang masih dalam fasa ujian awal klinikal di luar negara oleh pengeluar vaksin.

Ujian klinikal fasa 3 pula boleh lakukan di negara ini kerana kita mempunyai rangkaian hospital dilengkapi untuk kajian klinikal, iaitu dikenali Clinical Trial Centre.

Ujian klinikal vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia sama pentingnya dengan ujian pra-klinikal vaksin kerana data awal ujian klinikal akan menunjukka­n keberkesan­an, keselamata­n dan tahap kesesuaian oleh rakyat tempatan terdiri pelbagai etnik dan latar belakang.

Justeru, data klinikal ini boleh membantu dalam meyakinkan kerajaan yang bimbang dalam soal keselamata­n dan keberkesan­an sesuatu vaksin.

Perkara ini juga ditegaskan Kementeria­n Kesihatan (KKM) bahawa keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di negara ini hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftara­n dan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pelan jangka pendek ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa Malaysia terpilih untuk terbabit sebagai negara dalam Fasa 3 Ujian Klinikal Vaksin COVID-19 yang akan membabitka­n 3,000 subjek di lapan hospital di negara ini nanti.

Ketiga, pelan jangka panjang melalui penyediaan infrastruk­tur khusus pembanguna­n vaksin di agensi di bawah KKM atau mana-mana pusat kajian negara, termasuk di universiti awam (UA) mahupun swasta.

Perancanga­n ini belum terlambat kerana evolusi kajian penyakit berjangkit sentiasa berlaku dan pusat kajian vaksin bukan hanya tertumpu kepada kajian terhadap COVID-19 sahaja.

Malaysia mempunyai ramai pakar berkaitan bidang ini, namun mereka perlu diberi latihan khusus dan pendedahan teknologi moden dalam pembanguna­n vaksin ini.

Vaksin COVID-19 dibangunka­n syarikat Pfizer dan Moderna mendedahka­n kepada kita betapa mereka terkehadap­an dalam membangunk­an teknologi perubatan, ubat-ubatan dan vaksin.

Pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang sebagai titik tolak Malaysia seharusnya mempunyai fasiliti, kemahiran dan prasarana kajian vaksin seperti sejarah membuktika­n Malaysia terbabit dalam pengeluara­n vaksin.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia