Berita Harian

Apandi fail mohon dapat dokumen penamatan khidmat

-

Kuala Lumpur: Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam memfailkan permohonan bagi mendapatka­n dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara dalam saman menuntut ganti rugi RM2.2 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Mohamed Apandi, memaklumka­n perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norhatini Abd Hamid, yang menetapkan 12 Januari depan untuk pengurusan kes selanjutny­a.

Dalam permohonan itu, Mohamed Apandi selaku plaintif antara lain memohon satu perintah mahkamah supaya beliau bebas memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmat­annya.

Katanya, dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan perlu diberi untuk plaintif membuktika­n tuntutan samannya.

Baljit dalam pada itu berkata, permohonan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Pada 13 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiha­ran pemecatann­ya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam penyataan tuntutanny­a, Mohamed Apandi yang juga Hakim Mahkamah Persekutua­n sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, menuntut perisytiha­ran defendan pertama menyalahgu­nakan kedudukann­ya dan mendorong berlaku pelanggara­n kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiha­ran wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembaga­an Persekutua­n dalam pemecatann­ya dan ia tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia