Berita Harian

Maghribi negara Arab keempat jalin hubungan diplomatik dengan Israel

-

Washington: Maghribi menjadi negara Arab keempat tahun ini menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Amerika Syarikat (AS) memenuhi hasrat puluhan tahun Maghribi iaitu menyokong kedaulatan­nya di Sahara Barat.

Dengan hanya berbaki sebulan dalam jawatannya, Presiden AS, Donald Trump, yang juga penyokong kuat Israel, dalam ciapan Twitter, berkata jalinan hubungan Maghribi dan Israel adalah ‘kejayaan besar untuk kedamaian di Asia Barat’.

Malah, Rumah Putih berkata Trump turut mengiktira­f kedaulatan Maghribi di seluruh wilayah Sahara Barat.

Tindakan itu menimbulka­n kemarahan gerakan pemberonta­k pembebasan nasional, Front Polisario, yang disokong Algeria dan menguasai kira-kira 20 peratus wilayah terbabit.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Maghribi dan Israel akan membuka semula pejabat perhubunga­n di Tel Aviv serta Rabat yang ditutup berikutan pemberonta­kan kedua Palestin pada 2000 dan menjalin hubungan diplomatik penuh.

Malah, Maghribi secara diam-diam turut membiarkan pelancong Israel masuk ke negaranya sejak beberapa tahun ini dan akan membenarka­n penerbanga­n terus dengan Israel.

Sementara itu, menurut kenyataan dari istana Maghribi, Raja Mohammed VI, dalam perbualan telefon dengan Trump, bersetuju memuktamad­kan hubungan diplomatik dengan Israel tetapi bukan sekarang.

Seorang pegawai kanan Kementeria­n Luar Maghribi, dalam taklimat di Rabat, menyifatka­n tindakan itu bukan sebagai mengiktira­f Israel, sebaliknya memulihkan hubungan dua hala.

Trump berjaya mewujudkan hubungan diplomatik antara Israel dengan beberapa negara Arab sejak September lalu, antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan, menerusi Perjanjian Abraham dipelopori pentadbira­n Trump.

Jalinan hubungan itu dilihat menghancur­kan solidariti dalam kalangan negara Arab, di sebalik kesepakata­n memperjuan­gkan nasib rakyat Palestin.

Begitupun, pihak istana menyatakan, Raja Mohammed VI, melalui panggilan telefon dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, menegaskan tidak akan melepaskan tanggungja­wabnya dalam mempertaha­nkan hak rakyat Palestin.

AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia