Berita Harian

Guna kontrak baharu pemain

PFAM minta patuhi bagi kepentinga­n kedua-dua pihak terjaga

- Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesiona­l Malaysia (PFAM) meminta semua pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) menggunaka­n Kontrak Pemain Profesiona­l yang baharu berkuat kuasa 19 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata beberapa pindaan dilakukan dalam kontrak baharu itu yang diharap dapat memastikan kepentinga­n kedua-dua pihak terjaga sepanjang tempoh keterikata­n ini.

Katanya, antara pindaan adalah membabitka­n kewujudan klausa ‘force majeure’ yang pertama kali diperkenal­kan dalam sejarah kontrak bola sepak di negara ini.

Berdasarka­n semakan, klausa ‘force majeure’ membenarka­n kedua-dua pihak untuk bebas daripada liabiliti ataupun obligasi kontrak ketika berlakunya keadaan luar jangka yang berada di luar kawalan pihak yang terbabit seperti perang, rusuhan, jenayah atapun pandemik.

“Kita mengambil iktibar dari peristiwa pandemik COVID-19 yang memberi kesan sangat besar kepada bolasepak tempatan terutamany­a terhadap kepentinga­n pemain dan pasukan,” katanya semalam.

Izham berkata PFAM juga memasukkan perkara prosedur yang perlu dibuat oleh seseorang pemain yang ingin menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji yang berjumlah lebih dari dua bulan bagi mengelak sebarang kekeliruan berkenaan proses penamatan kontrak.

Katanya, PFAM turut memberikan komen penambahba­ikan kepada perkara berkenaan prosedur rungutan bagi hal berkaitan kontrak, pelepasan pemain untuk panggilan tugas pasukan kebangsaan dan juga berhubung skim perlindung­an insurans yang perlu diberikan perhatian terperinci di dalam kontrak.

“Selain itu, PFAM juga memberikan komen berhubung penekanan lebih jelas tentang status pemain yang tidak boleh ditamatkan kontrak akibat kecederaan dan prestasi. Kami menggesa setiap pasukan cakna dan mengambil maklum berkenaan penggunaan kontrak pemain profesiona­l yang baharu ini,” katanya.

Dalam masa sama, Izham turut mengingatk­an supaya pasukan tidak memasukkan terma tambahan yang bercanggah dengan terma asas di dalam kontrak baharu terbabit.

“Sebagai contoh, walaupun sudah jelas betapa seseorang pemain tidak boleh ditamatkan kontrak atas dasar prestasi tetapi masih ada pasukan yang melampirka­n terma tambahan dengan meletakkan laporan prestasi sebagai syarat penamatan kontrak.

“Hal ini ternyata menyongsan­g dengan semangat asal kontrak pemain profesiona­l dan ia seharusnya tidak berlaku. Namun PFAM juga ingin mengingatk­an kepada semua ahli kami supaya melaksanak­an obligasi kontrak dengan penuh dedikasi dan berintegri­ti,” katanya.

Izham juga mengingatk­an pemain menggunaka­n perantara yang sah dan berdaftar dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi melindungi kepentinga­n mereka sekiranya berlaku perkara tidak diingini kerana FAM hanya akan mendengar tuntutan terhadap ejen, wakil atau perantara berdaftar sahaja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia