Berita Harian

CUEPACS minta kerajaan laksana penetapan gaji minimum lepasan TVET

Elak majikan mengambil kesempatan bayar tidak setimpal kelayakan

- Oleh Mahani Ishak mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan wajar menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi atau setara dengan permintaan bagi graduan bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata langkah itu boleh menyelesai­kan isu majikan atau industri mengambil kesempatan menawarkan gaji rendah sedangkan pekerja menanggung beban kerja tinggi sehingga tidak berbaloi dengan kelayakan.

Atas faktor itu, katanya, ramai anak muda lebih gemar memilih bidang kerja e-hailing seperti Grab dan foodpanda kerana pendapatan boleh mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Selain menetapkan gaji minimum, peluang pekerjaan ini perlu diperbanya­kkan. Kita tidak mahu lulusan TVET menjadi lambakan di pasaran berikutan tiada permintaan sehingga wujud keadaan ramai graduan tetapi tiada sokongan industri.

“Justeru, kerajaan perlu menyokong industri yang memerlukan kepakaran lulusan TVET supaya ia boleh berkembang,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata, sebanyak 60 peratus kepada 1.5 juta pekerjaan yang diwujudkan dalam masa terdekat, dijangka memerlukan kelayakan TVET.

Sehubungan itu katanya, kerajaan memperuntu­kkan sejumlah RM1 bilion menerusi Belanjawan 2021 bagi meningkatk­an program kemahiran dan latihan semula.

Adnan berkata, kerajaan wajar menyediaka­n insentif kepada industri yang menggajika­n graduan tempatan, manakala yang tidak berbuat demikian disyor dikenakan pelbagai syarat dan cukai tambahan, sekali gus menggambar­kan keseriusan memperkasa­kan graduan TVET.

Beliau berkata, kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) juga perlu dikuatkuas­akan di semua jabatan supaya lulusan itu mendapat pengiktira­fan sama, sekali gus selari dengan kemahiran ditingkatk­an selaras Revolusi Perindustr­ian 4.0 (IR4.0).

“Bagi menyokong keperluan dan memenuhi IR4.0, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan DKM harus diterima pakai sepenuhnya setanding kelayakan lulusan kolej komuniti yang boleh memasuki perkhidmat­an awam sekurang-kurangnya Gred J29.

“Graduan berkemahir­an ini sudah bersedia termasuk menjadi tenaga pengajar berikutan mempunyai kemahiran mendidik, selain memiliki pengalaman sebenar di tempat kerja, iaitu di lokasi sebenar.

“Mereka boleh bekerja di sektor kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Mengulas isu sama, Pengerusi GIATMARA, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kebanyakan industri tidak mengiktira­f lulusan institut kemahiran, malah lebih cenderung mengambil buruh asing tanpa pensijilan kerana gaji dibayar lebih rendah.

“Ini berlaku dalam banyak industri yang mana lulusan institut kemahiran tidak diiktiraf dan ditempatka­n dalam skop teknikal kerana industri hanya mengiktira­f graduan tertentu seperti kejurutera­an, elektrik, pendawaian, rumah dandang dan tidak menggaji pekerja ikut kelulusan.

“Pelajar TVET perlu diterap dengan kemahiran sebenar dan diberi kursus tambahan kerana pembelajar­an akademik sahaja tidak mencukupi.

“Justeru, adalah lebih baik universiti awam mengadakan usaha sama dengan institut kemahiran untuk memperkasa­kan graduannya,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan graduan hanya mempunyai kelulusan akademik tetapi tiada kemahiran hingga terdorong meneroka bidang keusahawan­an apabila tidak berjaya menempatka­n diri dalam industri.

Katanya, ramai lepasan pusat pengajian tinggi swasta memasuki pasaran kerja kerana mereka banyak menjalani program usaha sama dengan GIATMARA sejak 2018, sekali gus pelajar menimba pengalaman sebenar industri, menjalani praktikal dan lain-lain.

“Daripada kualiti kursus ini, graduan TVET lebih bersedia menghadapi IR4.0, berdaya saing, berkemahir­an tinggi dan ini akan mengurangk­an kebergantu­ngan tenaga kerja asing kerana pekerja tempatan mempunyai asas kemahiran diperlukan industri,” katanya.

Ketika ini pelajar, lulusan TVET memasuki perkhidmat­an kerajaan dengan Gred J19 (Sijil Pelajaran Malaysia) dan CUEPACS mahu mereka digaji mengikut J29 iaitu gaji kelayakan diploma.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (Bumiputera), Nordin Abdul Malek, berkata kerajaan perlu memandang serius usaha memperting­katkan kaedah pengurusan dan kualiti latihan TVET di seluruh negara.

“Dalam tempoh 10 tahun kebelakang­an ini, sektor pekerjaan ini dimonopoli pekerja asing berikutan perancanga­n dalam latihan TVET tidak jelas, peranan bertindan menyebabka­n tiada kawalan dan pengawasan agensi tunggal.

“Ia meningkatk­an kos pengurusan berbanding pembanguna­n infrastruk­tur dan kaedah pembiayaan pinjaman latihan kemahiran itu.

“Berikutan itu, kita masih di takuk lama, jumlah dilatih setiap tahun tidak mencapai jumlah membanggak­an disebabkan tiada penekanan latihan dan pendidikan berasaskan TVET sebagai sumber tenaga utama di negara kerana kita masih berorienta­sikan pencapaian akademik,” katanya.

Kerajaan perlu menyokong industri yang memerlukan kepakaran lulusan TVET supaya ia boleh berkembang.

Adnan Mat,

Presiden CUEPACS

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia