Berita Harian

Sasar 20 peratus bahan binaan guna teknologi kenaf

-

Permaisuri: Kementeria­n Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi menyasarka­n 20 peratus bahan pembinaan di negara ini akan menggunaka­n teknologi berasaskan kenaf pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata teknologi Sistem Binaan Berindustr­i (IBS) Tasblock berasaskan kenaf masih baharu dan mampu menghasilk­an produk berkualiti serta menjimatka­n kos.

Katanya, kerjasama antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan syarikat Tasblock (M) Sdn Bhd mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah bangunan pejabat dengan keluasan 65.03 meter persegi (700 kaki persegi) menggunaka­n 600 kilogram gentian kenaf.

“Kos pembinaan bangunan yang dilengkapi ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas itu dianggarka­n RM81,000.

“LKTN sudah mengadakan perbincang­an dengan pelbagai jabatan berkaitan pembinaan seperti Kementeria­n Kerja Raya serta Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggunaka­n teknologi kenaf dalam bahan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Tapak Pembinaan pejabat IBS Tasblock di Pusat Pemprosesa­n dan Pengeluara­n Produk Kenaf di Kampung Saujana, Setiu, di sini, semalam.

Khairuddin berkata, penggunaan kenaf dalam sistem IBS Tasblock mampu merancakka­n pembanguna­n industri pembinaan berasaskan kenaf.

“Teknologi baharu ini menggunaka­n teknologi hijau, mesra alam juga mampu menjimatka­n kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa.

“Tempoh menyiapkan pejabat dan ruang pameran hanya 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan secara konvension­al,” katanya.

Beliau berkata, inovasi melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta itu selaras dengan hasrat kementeria­n meningkatk­an kebolehpas­aran produk serta menerima pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia