Berita Harian

Undi, mandat kukuh daripada rakyat bina kekuatan gabungan

-

Kuala Lumpur: Penubuhan ‘gabungan dalam gabungan’ tidak diperlukan kerana ia hanya strategi survival untuk mendapat kekuatan daripada sokongan parti terbesar, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebaliknya mesti membina kekuatan melalui undi dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita memerlukan kerajaan yang kuat dengan mendapat mandat sebenar tanpa berlengah. Sesuatu yang tidak menjurus kepada objektif berkenaan adalah diragui dan tidak diperlukan.

“Pakatan besar membabitka­n PN, BN dan GPS seperti dicadangka­n Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mestilah jelas tujuan dan matlamat akhirnya,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Hamzah dalam laporan media semalam berkata, satu gagasan besar yang baharu antara tiga parti iaitu PN, BN dan GPS perlu diwujudkan bagi menjulang wawasan serta aspirasi perjuangan politik negara.

Beliau berkata, justeru satu Piagam Persefaham­an Politik antara tiga gabungan parti besar itu perlu dibentuk supaya rakyat lebih yakin gagasan itu mempunyai kestabilan politik kukuh serta berkeupaya­an untuk terus mentadbir negara melalui dasar bagi memajukan ekonomi, membangunk­an negara dan membela rakyat pada masa hadapan.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini kerajaan PN ditubuhkan atas kerjasama Ahli Parlimen biarpun pada pandangann­ya ia bukan cerminan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Tindakan itu gagal mewujudkan kestabilan politik yang diharapkan. Apakah jaminan yang ‘gabungan dalam gabungan’ ini akan membuahkan kestabilan politik yang Malaysia perlukan.

“Dalam amalan demokrasi, kekuatan sebenar kerajaan mesti datang daripada akar umbi dan rakyat yang harus diperoleh melalui PRU.

“Di negara demokrasi termaju, penubuhan kerjasama politik hanya berlaku jika parti terbesar tidak mempunyai cukup kerusi untuk mentadbir negara dengan berkesan dan selalunya dimeterai sesudah pilihan raya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia