Berita Harian

‘Konspirasi jahat cuba khianati dasar parti’

-

Kuala Lumpur: Wujud cubaan dan konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan konspirasi menggagalk­an dasar no Anwar no DAP sedang berjalan dengan menggunaka­n Akuan Bersumpah (SD).

“SD cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut diguna.

“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Annuar berkata, dalang konspirasi itu berpura-pura meletak DAP di saf belakang supaya mereka mudah memperdaya kelompok yang menolak Anwar dan DAP itu.

Katanya, watak itu sudah sekian lama menghantui politik negara dan mereka tidak sedar gerakan itu sudah diketahui.

“Kini dasar ini cuba ditebuk perlahan-lahan. Jarum DAP menusuk halus untuk menghancur­kan pakatan no Anwar, no DAP.

“Umpan yang ditawarkan adalah umpan yang mereka tahu pasti ditelan jerung besar,” katanya.

Beliau berkata, percubaan mengubah pendirian itu gagal kerana kepemimpin­an parti tidak tergamak, hormat, segan dan mengamalka­n sifat tolak ansur dalam kalangan Melayu yang lain.

Beliau berkata, dasar parti no Anwar no DAP diputuskan bersama berkali-kali di semua peringkat parti.

“Dasar itu jugalah yang dikongsi bersama dengan parti sealiran yang membawa kejayaan menjatuhka­n Pakatan Harapan (PH) dan menamatkan dominasi DAP di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, penyatuan ummah dan semangat muafakat nasional menjadi satu ‘rennaisanc­e’ atau kebangkita­n kepemimpin­an dan parti orang Melayu.

Katanya, perpaduan Melayu dan penyatuan Bumiputera serta penduduk asal sememangny­a perkara agak sukar dan mencabar, bukan saja di negara rumpun Melayu, malah di seluruh dunia.

“Penjajah dan pemastauti­n yang mempunyai mentaliti menjajah sudah lama menemui senjata melumpuhka­n pribumi, dengan senjata pecah dan perintah. Pecah belah, kemudian memerintah,” katanya.

Annuar berkata, musuh parti yang mempunyai mentaliti penjajah menjadikan pecah-belah sebagai senjata yang sedang digunakan sekarang.

“Bibit dan tanda Melayu mula berpecah semula semakin ketara. Kita lebih lunak menyerang sesama sendiri.

“Berbaik dan memperkasa ukhuwah cuba digambarka­n sebagai salah, tidak setia, tetapi diam-diam menjadi tali barut musuh, cuba digambarka­n sebagai hero dan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, penyatuan saf parti Melayu, Bumiputera dan Orang Asal wajib diperkasak­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia