Berita Harian

‘Tidak boleh terus sekat pergerakan orang ramai’

-

Arau: Kerajaan tidak boleh menyekat pergerakan orang ramai selama-lamanya akibat pandemik COVID-19 kerana mereka perlu diberi kebebasan bergerak dengan mengamalka­n kawalan diri sendiri bagi mengelak terkena jangkitan.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini peningkata­n kes COVID-19 kebanyakan­nya membabitka­n warga asing yang bekerja dalam industri sekitar Kuala Lumpur, Labuan, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah.

Jelasnya, adalah dijangkaka­n kes positif COVID-19 akan terus berlaku berikutan ujian saringan masih diteruskan membabitka­n kira-kira 888,000 pekerja asing di enam kawasan berkenaan.

“Akhirnya (COVID-19) akan jadi macam penyakit seperti denggi, kerajaan juga akan beri kebebasan untuk rakyat hidup seperti biasa, namun rakyat perlu kawal diri dan elak daripada dijangkiti.

“Sebagai contoh Taiwan tidak ada kawal rakyatnya dan laksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi rakyat negara itu berdisipli­n dan kawal diri mereka sehingga kes tidak merebak.

“Jadi Malaysia perlu selesaikan isu pekerja asing dalam industri dan lakukan pemeriksaa­n, kalau dapat kawal, maka kes COVID-19 tidak akan merebak ke dalam komuniti,” katanya ketika ditemui di Istana Arau di sini, semalam.

Terdahulu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai­l dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l berkenan menerima menghadap Ismail Sabri.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Sejak dua hari lalu, negara kembali mencatat peningkata­n kes COVID-19 empat angka dengan pergerakan rentas negeri yang dibenarkan dibimbangi akan menyebabka­n pandemik itu tersebar ke zon hijau lain.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kes COVID-19 dalam kalangan warga tempatan tidak begitu tinggi dan kerajaan tidak boleh menghalang orang ramai melakukan kegiatan rentas negeri atau sempadan.

“Walaupun kes baharu meningkat lebih 2,000 semalam, ia lebih tertumpu kepada pekerja kilang yang mana hasil ujian saringan mereka sudah diperoleh, tetapi kes dalam komuniti tidak begitu tinggi.

“Disebabkan itu kerajaan ada prosedur operasi standard (SOP) yang jika dipatuhi orang ramai, kita percaya mampu melandaika­n kembali graf COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya belum menerima maklumat terperinci berhubung dakwaan sebuah kilang di Klang, bersubahat dengan pegawai imigresen, memalsukan cop rasmi jabatan itu dan membawa masuk pekerja haram dari China, hingga menyebabka­n pandemik COVID-19 meningkat di Selangor.

“Itu hanya dakwaan, namun seperti yang sedia maklum, baru-baru ini banyak pegawai Imigresen kita ditangkap.

“Ini membuktika­n kita ada operasi untuk menentukan hanya pegawai yang benar-benar bertanggun­gjawab yang tahu kerja mereka untuk kepentinga­n negara.

“Sekiranya ada yang langgar dan didapati bersubahat membawa orang luar tanpa dokumen sah sehingga membawa penyakit, saya minta Ketua Pengarah Imigresen ambil tindakan sewajarnya,” kata selepas merasmikan program penyerahan Bantuan ‘Bakul Kasih’ Amanah Ikhtiar Malaysia' Sahabat-sahabat Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Perak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia