Berita Harian

Supermarke­t Taiba beramal bantu asnaf

-

Port Dickson: “Kalau sudah tidak ada beras di rumah, datanglah ke Supermarke­t Taiba, ambil kupon asnaf dan ambillah barang,” kata Sharifah Talha Syed Ali Shahabudin, yang juga pengasas pasar raya berkenaan.

Sharifah Talha, 60, berkata Supermarke­t Taiba dibuka sejak setahun lalu selepas hampir 20 tahun menetap di Arab Saudi kerana berkahwin dengan warga Arab, Auny Saleh Shebib, 80, yang kini turut tinggal bersamanya di sini.

“Selepas balik ke kampung di Linggi, saya menumpukan kepada kerja kebajikan membantu golongan susah (asnaf) kerana sudah terdidik cara orang Arab yang kuat bersedekah.

“Di sana, orang Arab suka bersedekah dan pantang melihat orang kesusahan, malah mereka berebut-rebut membantu, jadi budaya itu sudah sebati dalam jiwa saya,” katanya selepas majlis menyampaik­an sumbangan kepada orang ramai, di sini, semalam.

Turut hadir menyampaik­an sumbangan ialah Ahli Dewan Undangan

Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza.

Sharifah Talha berkata, dia turut menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslimah Kariah Linggi yang disertai 16 sukarelawa­ti.

“Pada mulanya, saya menerima sumbangan dana daripada rakan warganegar­a Malaysia yang masih menetap di Arab Saudi untuk disalurkan kepada golongan asnaf.

“Setiap bulan saya membuat sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf yang berdaftar dengan Muslimah Kariah Linggi dan mereka datang mengambiln­ya sendiri di Supermarke­t Taiba mengikut keperluan,” kata ibu kepada tiga anak perempuan berusia 25 hingga 29 tahun yang kini tinggal di Dubai.

Sharifah Talha berkata, dia memperkena­lkan sistem kupon asnaf dan pelanggan yang berkemampu­an boleh membeli kupon setiap satu berharga RM20 untuk diberi kepada asnaf mengambil barang di premisnya mengikut nilai kupon.

 ?? (Foto Mohd Khidir Zakaria/bh) ?? Sharifah Talha menunjukka­n kupon asnaf di depan pasar raya miliknya di pekan Linggi, Port Dickson.
(Foto Mohd Khidir Zakaria/bh) Sharifah Talha menunjukka­n kupon asnaf di depan pasar raya miliknya di pekan Linggi, Port Dickson.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia