Berita Harian

Pulau Pinang sedia runding isu air

Ketua Menteri mahu henti perang mulut tuntutan caj air mentah Kedah

- Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

Batu Kawan: Kerajaan Pulau Pinang sedia berbincang dengan Kerajaan Kedah berhubung tuntutan caj air mentah dalam usaha menghentik­an perang mulut yang berlaku, sekali gus menjaga kredibilit­i dan imej antara kedua-dua negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata walaupun perkara itu sudah dijawab beberapa kali, namun pintu Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sentiasa terbuka untuk menyambut Kerajaan Kedah bagi mengemukak­an tuntutan mereka.

“Selama ini kita tegaskan isu sumber air mentah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutua­n dan menteri yang baharu sudah menyatakan satu daripada agenda beliau adalah untuk memastikan semua negeri mendapat sumber air mentah mencukupi.

“Dalam isu air dari Kedah, pintu KOMTAR sentiasa terbuka untuk rundingan walaupun tuntutan kerajaan negeri itu sudah beberapa kali dijawab.

“Apatah lagi, rakyat tidak berminat apabila kedua-dua negeri mengadakan perang mulut dalam media dan berharap perbincang­an diadakan, sekali gus menjaga imej serta tidak memberi gambaran buruk yang boleh menyebabka­n rakyat ketawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu antara kedua-dua negeri itu selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan Peralatan Perlindung­an Diri (PPE) di sini, semalam.

Kedah sebelum itu menuntut RM50 juta caj sumber air mentah setahun terhadap Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang (PBAPP).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Kedah sudah banyak kali menghantar surat meminta bayaran berkenaan kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

Muhammad Sanusi turut meminta PBAPP supaya tidak mencampuri segala urusan berkaitan sumber air Kedah selagi tidak membayar tuntutan diminta.

Kon Yeow berkata, beliau sekali lagi menegaskan Pulau Pinang mengekstra­k air mentah dari bahagian negeri itu sejajar hak dan undang-undang antarabang­sa.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan membayar tuntutan RM50 juta setahun yang diminta Kerajaan Kedah.

Namun, beliau mengulangi sokonganny­a terhadap Kerajaan Kedah untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutua­n kerana menggazetk­an Hutan Simpan Kekal Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air, sekali gus tidak membenarka­n sebarang aktiviti pembalakan di kawasan terbabit.

Dalam isu air dari Kedah, pintu KOMTAR sentiasa terbuka untuk rundingan.

Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia