Berita Harian

EU bakal perkenal undang-undang kawal Facebook, Google

-

Brussels: Firma teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) seperti Facebook dan Google bakal berdepan sistem perundanga­n baharu di Eropah, ketika Kesatuan Eropah (EU) bersedia mengemukak­an usul penting yang bakal mengubah aktiviti dalam talian.

EU mahu Akta Perkhidmat­an Digital dan Akta Pasaran Digital mengenakan peraturan ketat kepada firma internet gergasi untuk menjalanka­n perniagaan dalam blok 27 negara anggota itu.

Firma teknologi terbesar yang akan disebut sebagai ‘penjaga’ (gatekeeper) internet tertakluk kepada peraturan tertentu, dalam usul yang akan dikemukaka­n Naib Presiden EU, Margrethe Vestager dan pesuruhjay­a Thierry Breton, Selasa ini.

“Kita berada pada situasi kuasa perniagaan digital, khususnya penjaga internet yang besar, mengancam kebebasan, peluang, malah demokrasi kita.

“Maka, untuk penjaga internet terbesar dunia, situasi akan berubah. Mereka perlu mengambil lebih banyak tanggungja­wab,” kata Vestager.

Usul itu akan melalui proses ratifikasi yang panjang dan kompleks, membabitka­n 27 negara anggota EU, Parlimen Eropah dan syarikat serta persatuan perdaganga­n yang akan melobi untuk mempengaru­hi undangunda­ng pada peringkat akhir.

Perancis dan Belanda sebelum ini menyatakan persetujua­n untuk Eropah memiliki segala undang-undang yang diperlukan bagi mengawal firma terbabit, termasuk kuasa menutup mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, EU mengetuai usaha untuk mengawal kuasa firma teknologi gergasi, dengan mengenakan denda bernilai berbilion terhadap Google, namun pengkritik berpandang­an langkah itu tidak memberi kesan besar.

EU sebelum ini pernah mengarahka­n Apple membayar berbilion euro cukai kepada Ireland, namun keputusan itu dibatalkan oleh mahkamah tertinggi EU.

Jika menjadi kenyataan, Google, Facebook, Apple dan Amazon serta beberapa firma lain yang dilihat seperti bank gergasi, akan tertakluk kepada pemantauan khas dan terikat dengan peraturan baharu itu.

Bagaimanap­un, firma teknologi memohon pertimbang­an dan berharap mereka tidak dilihat berdasarka­n saiz syarikat semata-mata.

“Kita mungkin akan berakhir dengan peraturan ketat dan tegas yang menyasarka­n saiz syarikat berbanding amalan yang bermasalah,” kata Kayvan Hazemi-jebelli dari Persatuan Industri Komputer dan Komunikasi. AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia