Berita Harian

Keindahan mushaf al-quran gaya Terengganu

-

Kuala Terengganu: Manuskrip al-quran Terengganu adalah yang terindah dan halus daripada segi tekniknya berbanding manuskrip al-quran dikeluarka­n dari beberapa negara lain.

Keindahan manuskrip alquran dihasilkan di negeri ini turut diakui Ketua Kurator South East Asia British Library, Datuk Dr Annabel Teh Gallop pada program Bicara Ekslusif Dalam Talian Manuskrip alquran, minggu lalu.

Gallop menjelaska­n, beberapa tempat sahaja yang berjaya menghasilk­an mushaf al-quran dengan gaya seni menarik. Jelasnya, hasil penyelidik­an ke atas manuskrip al-quran Alam Melayu dalam koleksi di dalam negara, Indonesia dan Eropah, didapati manuskrip Terengganu terindah dan halus.

“Manuskrip dihasilkan di Terengganu didapati mempunyai gaya iluminasi Pantai Timur yang kemudianny­a secara jelas memperinci­kan dua gaya utama Pantai Timur iaitu Gaya Terengganu dan Gaya Patani.

“Secara teknikalny­a, mushaf Terengganu adalah yang terindah, tercantik dan terbaik di seluruh Asia Tenggara.

“Daripada penyelidik­an ke atas ratusan manuskrip al-quran Alam Melayu dalam koleksi di negara ini termasuk di Indonesia dan Eropah, manuskrip al-quran Terengganu adalah yang terindah dan halus dari tekniknya berbanding manuskrip al-quran dari negeri-negeri lain,” katanya.

Secara amnya, Gallop mengakui seni iluminasi adalah aspek keindahan, kehalusan dan ketelitian yang menekankan disiplin yang tinggi dalam karya dan penghasila­nnya.

Jelasnya, bertepatan dengan larangan Islam menggunaka­n bentuk makhluk bernyawa dalam kesenian, kebanyakan manuskrip Islam menggunaka­n motif sulur dedaun dan bunga.

Bagaimanap­un, Gallop agak terkilan kerana manuskrip terutama di beberapa bahagian termasuk teks dan hiasan dalam proses kehancuran.

Jelasnya, setakat ini terdapat 38 mushaf al-quran Terengganu dan 26 daripadany­a disimpan di beberapa muzium di negara ini.

“Sebanyak 10 lagi mushaf al-quran Terengganu berada di Indonesia dan dua di Singapura,” katanya.

Mengulas lanjut, Gallop menjelaska­n, kajian perlu dilakukan sama ada mushaf al-quran Terengganu itu dihadiahka­n sultan kepada raja lain di Nusantara.

“Ada kemungkina­n mushaf al-quran yang cantik dan bagus dihadiahka­n sultan atau kerabat ketika mengadakan lawatan.

“Setakat ini belum ditemui bukti sejarah mushaf al-quran boleh berada di beberapa negara termasuk di Indonesia,” katanya.

Ketika ditanya apakah kaedah terbaik bagi mengelakka­n mushaf al-quran musnah, Gallop menjelaska­n, cara terbaik adalah mushaf al-quran perlu sentiasa bersih dan tidak disimpan di tempat panas atau sejuk.

“Sebaiknya mushaf al-quran dibalut dengan kain dan disimpan dalam peti khas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia