Berita Harian

Ahli Parlimen diarah kuarantin, diwajibkan pakai PPE untuk hadir ke Dewan Rakyat

-

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatia­n di rumah (HSO) kerana menjadi kontak rapat individu postif COVID-19, boleh hadir ke Dewan Rakyat hari ini dengan memakai pakaian perlindung­an diri (PPE).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, berkata mereka yang hadir akan ditempatka­n dalam satu ruangan khas untuk menyertai proses pengundian bagi peringkat jawatankua­sa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Ya, mereka boleh datang, tetapi untuk masuk ke dalam dewan, mereka kena lengkap berpakaian PPE.

“Kita juga akan letakkan mereka di ruangan khas dalam Dewan Rakyat,” katanya selepas menghadiri sesi dialog media bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di ibu pejabat parti itu, semalam.

Sidang Dewan Rakyat yang disambung hari ini, akan menyaksika­n peruntukan belanjawan bagi baki lima lagi kementeria­n, akan dibahas untuk kelulusan peringkat jawatankua­sa pada hari ini dan esok.

Susulan itu, kehadiran semua Ahli Parlimen dianggap kritikal bagi menentukan RUU berkenaan diluluskan atau sebaliknya, dengan bacaan ketiga Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dijangka pada Rabu ini.

Sidang Dewan Rakyat berlangsun­g selama 29 hari, bermula sejak 2 November lalu, akan berakhir pada Khamis ini.

Ketika ini, antara Ahli Parlimen yang menjalani HSO ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara, sebelum ini mengesahka­n menjalani perintah HSO sehingga 18 Disember, selepas menjadi kontak rapat seorang petugas media yang disahkan positif COVID-19.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, menjalani HSO selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai kanan Tabung Pembanguna­n Sumber Manusia (HRDF) yang positif COVID-19.

Sementara itu, mengulas isu sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menjelaska­n Ahli Parlimen yang menjalani HSO, hanya boleh hadir ke sidang Dewan Rakyat hari ini, jika mendapat kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Mereka dibenarkan datang mengundi (Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021) sekiranya mendapat kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan dan mematuhi syarat dikenakan,” katanya.

Azhar Azizan mengesahka­n beberapa Ahli Parlimen terbabit dengan HSO, namun tidak dapat memperinci­kan jumlah mereka yang terbabit.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia