Berita Harian

MPN usaha wujudkan 500,000 peluang kerja

-

Muar: Kerajaan akan berusaha mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN), walaupun sedar berhadapan dengan keadaan ekonomi getir berikutan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jumlah mereka yang menganggur tahun ini bertambah kepada 700,000 orang atau 5.6 peratus, berbanding hanya tiga peratus tahun sebelumnya.

“Jumlah mereka yang tiada pekerjaan meningkat, mereka yang berniaga terpaksa gulung tikar kerana rakyat tiada pendapatan, menyebabka­n mereka menanggung kerugian.

“Disebabkan itu juga, mereka tidak mengambil pekerja baharu dan yang ada pun terpaksa diberhenti­kan.

“Sebab itu, kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan (Negara) yang dipengerus­ikan saya sendiri, dengan tujuan menentukan ekonomi negara dapat terus lebih tersusun dan cari jalan bantu rakyat, yang kini sebahagian besar hilang pekerjaan dan tiada pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali peringkat Pagoh di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, walaupun sedar sasaran itu agak sukar dicapai, kerajaan mengatur pelbagai langkah proaktif, termasuk menawarkan insentif cukai kepada pelabur asing bagi menarik minat mereka untuk menanam modal di negara ini.

“Sekarang susah hendak cari pelabur datang ke negara ini, walaupun Malaysia negara pilihan sebelum ini disebabkan kita mempunyai kemudahan infrastruk­tur yang baik, tenaga buruh yang ramai, lebuh raya, tapak pembanguna­n kilang dan kemudahan api (elektrik) dan air.

“Jadi sekarang jika kita tidak berusaha betul-betul dan mengambil langkah berani untuk tawar lebih insentif, mereka tidak akan datang ke negara ini untuk menanam modal kerana seluruh dunia ketika ini juga mahukan pelaburan,” katanya.

Muhyiddin berkata, apabila pelabur dari luar beralih ke negara lain dan mereka tidak datang, kerajaan secara langsung tidak dapat menyediaka­n peluang pekerjaan.

Pada masa sama, beliau turut meminta Kementeria­n Sumber Manusia dan kementeria­n lain yang berkenaan menggunaka­n dana RM2 bilion yang disediakan kerajaan untuk melatih lebih ramai golongan muda, khususnya dalam bidang kemahiran.

Ketika ini, katanya, ramai graduan dan lepasan sekolah gagal memperoleh pekerjaan dan beliau yakin kemahiran yang diperoleh mampu membantu golongan berkenaan menyara kehidupan.

Sementara itu, langkah kerajaan melonggark­an prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dilakukan bagi merancakka­n kembali aktiviti ekonomi negara.

Walaupun ada pihak mempertika­i perkara itu, katanya, keputusan dilakukan kerajaan selepas membuat penelitian mendalam.

“Ekonomi negara belum pulih, orang berniaga tepi jalan pun tidak ramai yang melanggan, kompleks beli-belah pun kosong, banyak hotel tutup sebab tidak ada orang datang.

“Sebab itu, baru-baru ini, saya buat keputusan beri kelonggara­n, supaya orang Kuala Lumpur dapat ke Desaru, Johor dan orang Johor dapat ke Pantai Timur.

“Sekarang ini saya periksa hotel sudah penuh, ini satu petanda baik. Sebab itu, walaupun COVID-19 belum selesai, kita benarkan rakyat berjalan, tetapi dengan syarat semua SOP ditetapkan dipatuhi,” katanya. BERNAMA

Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan (Negara) yang dipengerus­ikan saya sendiri, dengan tujuan menentukan ekonomi negara dapat terus lebih tersusun dan cari jalan bantu rakyat, yang kini sebahagian besar hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia