Berita Harian

Selangor kekal catat kes harian tertinggi

-

Putrajaya: Sebanyak 1,229 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam, dengan Selangor kekal mencatat kes jumlah harian tertinggi iaitu 435 kes atau 35.4 peratus daripada keseluruha­n kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambaha­n kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini kepada 83,475 dengan kes aktif dan kebolehjan­gkitan 13,667 kes.

Daripada jumlah kes direkodkan di Selangor, katanya, sebanyak 344 bersamaan 79.1 peratus adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 di lapangan.

“Dua negeri lain yang mencatat kes tinggi hari ini (semalam) ialah Sabah dengan 333 kes (27.1 peratus daripada keseluruha­n kes) serta Kuala Lumpur iaitu 131 kes (10.7 peratus),” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 200 kes atau 16.3 peratus dilaporkan berkait dengan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitka­n Kluster Tembok (103), Kluster Rumah Merah (78), Kluster Penjara Jalan Harapan (12) dan Kluster Bakti (tiga).

“Masing-masing satu kes dilaporkan dalam Kluster Penjara Kepayan, Kluster PTS Sibuga, Kluster Matambai dan Kluster Penjara Seberang Perai.

“Sehingga kini, 115 kes positif COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi dengan 65 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Bagi pertambaha­n kes di negeri lain, katanya, Perak mencatat 105 kes baharu, diikuti Johor (103),

Negeri Sembilan (29), Pahang (28), Pulau Pinang (26), Kedah (13), Terengganu (12), Melaka (tujuh), Labuan (enam) dan Perlis (satu).

Mengenai empat kes kematian yang direkodkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, dua kes dilaporkan di Selangor manakala satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di negara ini kepada 415 kes bersamaan 0.50 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes.

“Kes kematian ke-412 membabitka­n wanita berusia 83 tahun yang ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Kes kematian ke-413 membabitka­n lelaki 60 tahun yang juga orang kurang upaya serta mempunyai penyakit kencing manis, katarak dan buah pinggang kronik yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Katanya, kes kematian ke-414 membabitka­n wanita berusia 44 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, obesiti dan buah pinggang kronik serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Turut meninggal di hospital sama ialah kes ke-415, lelaki warga asing, 29 tahun dan tiada penyakit kronik,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah semalam, katanya, 1,309 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 di negara ini 69,393 kes atau 83.1 peratus daripada keseluruha­n kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia