Berita Harian

Kedah harap Pusat campur tangan caj air

Pulau Pinang patut tanggung sama kos selaku pihak penerima faedah

- Oleh Noorazura Abdul Rahman bhnews@bh.com.my

Alor Setar: Kerajaan Persekutua­n diharap dapat menjadi fasilitato­r dalam melaksanak­an rundingan bagi menyelesai­kan isu bayaran sumber air mentah yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang sejak 2010.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata campur tangan Kerajaan Persekutua­n itu juga termasuk bagi membantu rundingan antara Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Katanya, tidak wajar bagi Kedah yang terpaksa berkorban bagi mengekalka­n hutan yang luas dan menanggung kos penyelengg­araan sumber serta aliran air, sedangkan Pulau Pinang menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

“Apabila wujud kos terbabit, sewajarnya ia turut dipikul Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah. Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat.

“PBAPP patut membayar caj mengekstra­k air dari sumber air mentah Kedah supaya manfaatnya dapat dikongsi secara bersama rakyat di kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, merujuk Perjanjian 1985 antara kedua-dua negeri, ia adalah persepakat­an yang dicapai bertujuan menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Katanya, perjanjian itu perlu disemak semula berikutan ada keperluan bekalan yang semakin meningkat serta keperluan kepada pembanguna­n dan mengekalka­n kelestaria­n alam semula jadi bagi tujuan mengekalka­n sumber air.

“Jaminan ini hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selamanya.

“Selepas 35 tahun, keperluan untuk terus memberi jaminan air sudah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini,” katanya.

Beliau menegaskan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut membayar caj yang dikenakan LSANK bagi tujuan membekalka­n bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah sedangkan

Pulau Pinang tidak membayar apa-apa.

Katanya, penggunaan air di Kedah adalah kira-kira 800 juta liter sehari (mld), sedangkan PBAPP yang mengekstra­k 80 peratus sumber air dari Sungai Muda menggunaka­n 1,100mld.

Isu caj air mentah ke atas Pulau Pinang menjadi perang mulut antara Muhammad Sanusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, beberapa hari ini apabila PBAPP mengeluark­an kenyataan penerokaan mineral elemen nadir bumi berskala besar di kawasan tadahan Ulu Muda termasuk Sik dan Baling di Kedah yang permitnya diluluskan oleh kerajaan Kedah, akan menjejaska­n bekalan air untuk 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, Muhammad Sanusi mengingatk­an Pulau Pinang supaya jangan mencampuri urusan pentadbira­n Kedah dan membayar dahulu caj ekstrak air mentah sebanyak RM50 juta setahun sebelum berbincang mengenai isu nadir bumi itu.

Muhammad Sanusi Md Nor

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia