Berita Harian

Bina daya tahan harungi implikasi pandemik tahun depan

- Sarifah Nurhanum Syed Sahuri, Pensyarah Kanan (Pendidikan), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pandemik COVID-19 belum menunjukka­n tanda akan berakhir, bahkan gelombang semakin besar berlaku di seluruh negara.

Berbaki dua minggu menjelang 2021, setiap daripada kita perlu mempersiap­kan diri untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Tidak seperti selalu, keazaman kali ini perlu lebih kuat, teguh dan luar biasa.

Kesukaran dilalui tahun ini memberikan 1,001 pengalaman kepada setiap individu, secara tidak langsung menjadikan kita lebih matang, bersedia dan berdaya tahan menangani apa sahaja cabaran pada masa hadapan.

Pada masa kini, pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan untuk meminimumk­an kesan pandemik COVID-19 dari aspek ekonomi dan sosial kepada rakyat. Seperti dituturkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui ucapan beliau sebelum ini, “kita hendak memastikan sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja”.

Namun, kesukaran dilalui setiap individu berbeza dan tersendiri. Peningkata­n kadar penganggur­an begitu juga perceraian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi cabaran besar dalam memperkasa­kan generasi muda, institusi kekeluarga­an dan masyarakat secara amnya.

Dari aspek psikologi, daya tahan yang dimaksudka­n ialah sejauh mana seseorang individu bangkit semula selepas mengalami kejatuhan, kemunduran atau kegagalan dan berada pada tahap paling rendah dalam kehidupann­ya.

Kebolehan untuk bangkit daripada kesukaran hidup dilalui dan berusaha untuk kembali kepada kehidupan lebih baik daripada sebelumnya akan menjadikan seseorang lebih sihat dari sudut emosi dan kesihatan mental, menajamkan kemahiran penyelesai­an masalah, membina hubungan sosial lebih baik serta melahirkan masyarakat lebih sejahtera dan bahagia.

Sifat kuat dan berdaya tahan menghadapi sesuatu ujian atau dugaan juga adalah sifat terpuji seperti mana sabda Rasulullah SAW.

Oleh itu, 2021 wajar dilihat secara positif, walaupun gelombang pandemik COVID-19 tetap terus membadai kita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia