Berita Harian

‘Terus terang atau lapor polis jika dakwaan fitnah’

Tindakan perlu diambil individu terbabit untuk bersih nama, elak kekeliruan

- Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Izwan Abdullah bhnews@bh.com.my

Kota Bharu: Beberapa pemimpin UMNO yang didakwa menandatan­gani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, dinasihatk­an membuat laporan polis, sekiranya ia adalah fitnah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata mereka terbabit juga boleh membuat laporan kepada Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanap­un katanya, jika perkara itu (tandatanga­ni SD) benar, individu berkenaan perlu berterus-terang supaya tiada kenyataan berbeza dengan parti.

“Setakat ini yang saya tahu, itu bukan pada peringkat parti. Peringkat parti, sama ada Muafakat Nasional (MN) atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tiada sebarang perbincang­an untuk menandatan­gani SD.

“Maka, kita harap apa yang tersebar itu adalah tidak benar. Kali terakhir kita menandatan­gani SD adalah untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Justeru, mereka yang dikaitkan dengan tandatanga­n SD itu perlulah membuat laporan polis dan kepada SKMM sekiranya ia tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan blogger di Kampung Tapang, di sini, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa nama pemimpin UMNO yang dikatakan menandatan­gani SD bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya sehingga kini masih dengan keputusan asal iaitu ‘no Anwar no DAP’ (tiada Anwar tiada DAP).

Ketika ditanya mengenai konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian parti, Annuar berkata, ancaman itu sentiasa ada memandangk­an kerusi pembangkan­g dan kerajaan hanya berbeza sedikit sahaja.

“Namun saya ingin tegaskan, pada saat rakyat tengah mengalami kesusahan, kita tidak sepatutnya berpecah sebaliknya bergabung tenaga untuk menyelesai­kan masalah,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Ahli Parlimen Kinabatang­an, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi menafikan dakwaan terbaru yang mengaitkan­nya dengan SD sokongan kepada Anwar itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menegaskan bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatka­n sokongan dalam bentuk SD berhubung pembentuka­n kerajaan.

“Perkara untuk mendapatka­n SD bukan mudah sebab ia akan menentukan kerajaan sesebuah negara.

“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang saya tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua kerajaan,” katanya dalam kenyataan. Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi pihak tidak bertanggun­gjawab.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat. “Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahk­an kepada Yang di-pertuan Agong. Tidak perlu buat kenyataan. Spekulasi kembali tersebar semalam apabila ada laporan menyatakan Anwar sedang mengatur untuk menghadap Yang di-pertuan Agong bagi mempersemb­ahkan SD 113 Ahli Parlimen yang menyokongn­ya menjadi perdana menteri termasuk 10 dari UMNO.

Mereka yang dikaitkan dengan tandatanga­n SD itu perlulah membuat laporan polis dan kepada SKMM sekiranya ia tidak benar.

Annuar Musa, Setiausaha Agung Barisan Nasional

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia