Berita Harian

Syor tinjauan sikap di kerusi Parlimen

-

Kuala Lumpur: UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dicadang melaksanak­an tinjauan serta kajian sikap di kerusi Parlimen yang dijangka berlaku pertembung­an pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Teknologi dan Media Universiti Teknologi MARA (UITM), Datuk Prof Dr Ismail Sualman, berkata kajian sikap itu penting bagi mengetahui parti mana yang lebih mendapat kepercayaa­n rakyat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Kesudian ketiga-tiga parti Melayu ini untuk berunding mengenai agihan kerusi pada PRU-15 mencermink­an sikap keterbukaa­n masing-masing, namun sudah pasti akan berlaku sedikit rasa tidak puas hati mengenai perkara ini.

“Sebab itu, ketiga-tiga parti ini dicadang melantik badan benar-benar bebas yang boleh melakukan kajian sikap ke atas pengundi di kawasan yang mereka ingin tandingi. Keputusan kajian ini kelak boleh menentukan parti mana yang layak bertanding di kerusi terbabit.

“Ketiga-tiga parti juga perlu bersikap terbuka menerima keputusan kajian itu dan sedia berkorban. Ini kerana kemenangan sesuatu parti itu ditentukan oleh pengundi, bukan pemimpin parti,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Penganalis­is politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, turut menyuaraka­n cadangan sama bagi mengelak ketiga-tiga parti itu bertembung sesama sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, soal agihan kerusi adalah perkara yang sensitif terutama dalam kalangan UMNO dan BERSATU kerana masing-masing mahukan kerusi selamat untuk ditandingi.

“(Soal rundingan kerusi) ini perkara sulit untuk dilakukan terutama untuk mendapat konsensus antara mereka dan sudah pasti setiap parti ada hujah, rasional dan justifikas­i masing-masing.

“Saya berpendapa­t walaupun ada agensi yang melakukan tinjauan di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, parti berkenaan perlu melaksanak­an kajian sikap dalam kalangan pengundi untuk mengetahui parti mana yang lebih layak bertanding di sesuatu kerusi itu,” katanya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan rundingan pembahagia­n kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) minggu ini.

Katanya, pertemuan itu akan diadakan di Kuala Lumpur membabitka­n tiga presiden iaitu UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Malah, perkara itu disahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumka­n parti itu akan bekerjasam­a dengan BERSATU dan PAS pada PRU-15 bagi memastikan undi orang Melayu tidak berpecah.

Jelasnya, ketiga-tiga parti Melayu itu sudah mencapai persetujua­n untuk tidak bertembung sesama sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia