Berita Harian

Pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sepi

-

Rantau Panjang: Deretan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang selama ini menjadi tumpuan aktiviti penyeludup, kini sepi selepas penguatkua­saan sempadan Malaysia-thailand dipertingk­atkan pihak berkuasa.

Tiada lagi aktiviti rentas sempadan berlaku sama ada membabitka­n warga Malaysia atau negara jiran, malah bot serta perahu yang selama ini memenuhi kawasan pangkalan haram juga tidak banyak lagi kelihatan.

Keadaan itu dikesan hasil tinjauan BH di kawasan terbabit yang dikenal pasti sebagai lokasi panas penyeludup­an di sepanjang Sungai Golok, semalam.

Di sebelah Malaysia, anggota keselamata­n dilihat mengawal ketat lokasi dengan beberapa kawasan dilengkapi kawat duri bertujuan mencegah sebarang cubaan penyusupan atau penyeludup­an.

Di negara jiran pula, kawalan turut diperketat­kan dengan kehadiran beberapa anggota keselamata­n lengkap bersenjata di sepanjang benteng sungai.

Penduduk tempatan, Hasni Talib, 50, mengakui keadaan di Sungai Golok sebenarnya lengang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan Mac lalu dan penduduk tempatan akur dengan saranan kerajaan yang tidak membenarka­n sebarang rentas sempadan dilakukan.

“Pemilik perahu contohnya, mula menyimpan pengangkut­an sungai itu memandangk­an anggota keselamata­n mengawal ketat kawasan pangkalan, selain bertujuan mengelak perahu mereka rosak begitu sahaja.

“Pada awal dulu, ada juga secara sembunyi ambil peluang merentas sungai, tetapi selepas beberapa kali ditangkap pihak berkuasa, mereka tidak berani lagi melakukann­ya.

“Sebelum ini, kawasan sempadan memang bising dengan hiruk-pikuk dan bunyi enjin perahu atau bot, kini semua itu bagaikan hilang sekelip mata kerana akur dengan tindakan tegas kerajaan demi mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui berdekatan Pangkalan Gergaji, satu daripada pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok.

Berdasarka­n maklumat, lebih 80 pangkalan haram dilaporkan wujud di sepanjang jajaran Sungai Golok dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga Jeram Perdah di Rantau Panjang.

Selain meningkatk­an penguatkua­saan dari segi keanggotaa­n, kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di sepanjang Sungai Golok di sebelah negara jiran termasuk beberapa lampu jalan yang dibina sejak awal penularan COVID-19 bagi mengekang aktiviti keluar masuk penduduk di kedua-belah negara

Penduduk Kampung Pohon Nibong, Razali Isa, 63, turut mengakui aktiviti rentas sempadan sudah lama tidak berlaku di laluan yang sebelum ini meriah dengan bot penambang yang membawa penumpang ke lokasi di kedua-dua negara.

Katanya, penduduk bimbang dikenakan tindakan tegas jika ada yang curi-curi masuk ke negara jiran kerana pihak berkuasa di sebelah negara jiran agak tegas.

“Pernah penduduk yang cuba menyeberan­g ke Kampung Belukar (sebelah Thailand) terserempa­k pihak berkuasa negara jiran, menyebabka­n botnya dirampas dan ditahan selama dua minggu sebelum dipulangka­n.

“Tindakan itu menyebabka­n kami langsung tidak menghampir­i kawasan Thailand dan jika terpaksa turun ke sungai sekalipun hanyalah untuk menangkap ikan atau memancing udang di tebing sungai,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nibong, di sini.

Beliau berkata, pemasangan pagar kawat berduri di beberapa lokasi sepanjang Sungai Golok di Pengkalan Kubor juga menjadi faktor menghalang berlakunya aktiviti rentas sempadan yang dahulunya agak rancak.

 ?? (Foto Nik Abdullah Nik Omar/bh) ?? Kawat duri dipasang di pangkalan haram Paung, Sungai Golok yang kini lengang tanpa aktiviti membabitka­n bot atau perahu merentas sempadan.
(Foto Nik Abdullah Nik Omar/bh) Kawat duri dipasang di pangkalan haram Paung, Sungai Golok yang kini lengang tanpa aktiviti membabitka­n bot atau perahu merentas sempadan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia