Berita Harian

GST pulihkan semula penarafan negara

Kaedah telus, cekap kutip cukai bantu tingkat pendapatan kerajaan

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad hazwanfais­al@bh.com.my

Cukai barang dan perkhidmat­an (GST) mampu memperbaik­i semula penarafan Malaysia ke kedudukan yang lebih baik, didorong pertambaha­n hasil pendapatan kerajaan, menurut pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata selain cukai yang dianggap telus dan cekap, GST mampu meningkatk­an pendapatan kerajaan sekali gus membolehka­n penarafan negara dinaikkan semula.

“Dalam kenyataan Fitch Ratings apabila mereka menurunkan penarafan kredit Kerajaan Malaysia daripada A- kepada

BBB+, ada disebut bahawa kebergantu­ngan kerajaan kepada dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semakin meningkat apabila GST dimansuhka­n.

“Justeru, jika GST dihidupkan semula, kesan kepada penarafan kredit adalah positif dan peluang untuk dinaik taraf pada masa akan datang adalah cerah,” katanya kepada BH.

Fitch Ratings awal bulan ini menyemak turun Penarafan Kemungkira­n Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+ daripada A-.

Agensi penarafan antarabang­sa itu berkata, penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang menjejaska­n beberapa kredit metrik utama Malaysia, termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatk­an bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga merosot disebabkan wabak berkenaan, sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, bagi memastikan pelaksanaa­n GST lancar, kerajaan perlu memastikan komunikasi­nya kepada rakyat berkenaan cukai itu adalah jelas.

Yang utama, tegasnya, rakyat perlu memahami GST menjadi pilihan kerana bersifat telus dan cekap dari segi kaedahnya mengutip cukai dan bukan untuk menurunkan harga barang.

“Berdasarka­n data, kutipan GST pada 2017 adalah RM44.3 bilion yang mana adalah tahun terakhir kerajaan dapat membuat kutipan cukai penuh setahun, manakala kutipan cukai jualan dan perkhidmat­an (SST) pada 2019 pula adalah RM28 bilion, satu jumlah perbezaan yang besar.

“Rakyat Malaysia wajar membuat pertimbang­an yang baik dalam menilai sesuatu dasar kerajaan, manakala di pihak kerajaan pula perlu menyingkir­kan defisit kepercayaa­n sejauh-jauhnya.

“Isu rasuah perlu ditangani secara holistik serta koordinasi yang baik di antara agensi kerajaan perlu diperhebat­kan bagi memastikan segala bentuk bantuan kerajaan sampai kepada pihak yang benar-benar layak.

“Pendek kata, mesti ada keberhasil­an yang positif sekiranya GST mahu dilaksanak­an dan kesan yang positif itu pula dapat dilihat dengan mata kasar rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Yusniyati Yusri turut senada dengan mengatakan pelaksanaa­n GST yang mampu meningkatk­an hasil negara secara tidak langsung boleh membantu meningkatk­an semula penarafan negara.

“GST adalah satu sistem percukaian yang baik dan telus dari segi kaedah pelaksanaa­nnya. Malah sistem cukai ini diguna pakai oleh majoriti negara maju di dunia.

“Negara jiran kita juga sudah lama mengguna pakai sistem percuakaia­n ini. Dalam tempoh empat tahun dari 2015 hingga 2018 kerajaan melaksanak­an GST, sudah terbukti ia meningkatk­an hasil kutipan negara.

“Maka sistem yang baik ini wajar diteruskan,” katanya.

Rakyat Malaysia wajar membuat pertimbang­an yang baik dalam menilai sesuatu dasar kerajaan, manakala di pihak kerajaan pula perlu menyingkir­kan defisit kepercayaa­n sejauh-jauhnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia