Berita Harian

Jangkitan di Korea Selatan melonjak

Catat kes baharu tertinggi untuk hari kedua berturut-turut

-

Seoul: Korea Selatan merekodkan 1,030 kes COVID-19 baharu semalam, angka tertinggi untuk hari kedua berturut-turut ketika negara itu bergelut mengekang gelombang ketiga jangkitan berkenaan.

Negara itu sebelum ini menjadi model bagaimana menentang pandemik, dengan orang ramai kebanyakan­nya mematuhi penjarakan fizikal dan peraturan lain.

Bagaimanap­un, kemunculan semula kes COVID-19 berpusat di ibu negara dan kawasan sekitarnya memaksa Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memohon maaf di Facebook kerana kegagalan pentadbira­nnya mengekang gelombang terbaru itu.

Kelmarin, beliau menyifatka­n situasi semasa sebagai sangat buruk selepas pihak berkuasa merekodkan 950 kes baharu, tertinggi sejak pandemik itu bermula.

Rekod itu dicatat semalam dengan 1,002 kes jangkitan tempatan, 786 daripadany­a dikesan di Seoul yang didiami separuh daripada keseluruha­n 52 juta rakyat Korea Selatan.

Lonjakan kes di Korea Selatan berlaku walaupun kerajaan mengetatka­n peraturan penjarakan fizikal di Seoul awal minggu ini, antaranya melarang perhimpuna­n lebih 50 orang dan kehadiran penyokong pada program sukan, manakala restoran perlu ditutup pada jam 9 malam.

Namun, pihak berkuasa kelmarin memaklumka­n mungkin perlu mengetatka­n lagi peraturan ke peringkat tertinggi dengan menutup sekolah, melarang perhimpuna­n lebih 10 orang dan hanya membenarka­n perkhidmat­an penting bekerja.

Korea Selatan antara negara di luar China yang teruk terkesan dengan COVID-19 pada awal penularan pandemik itu, namun berjaya mengawalny­a menerusi pendekatan ‘kesan, uji dan rawat’.

Negara itu tidak pernah melaksanak­an perintah berkurung seperti di kebanyakan Eropah dan beberapa bahagian lain di seluruh dunia. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia