Berita Harian

Kerajaan perlu keluar RM4 juta setahun

-

Kuala Lumpur: Sekiranya pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik menerima RM2,000 sebulan berdasarka­n Skim Insentif Tetap Olimpik (SITO), apakah kadar nilai bersesuaia­n yang harus diberikan kepada atlet yang berjaya melayakkan diri ke temasya berprestij itu?

Andai difikirkan secara logik, nilai yang wajar dan patut diberikan adalah RM1,000 sebulan - bawah daripada RM2,000 yang diberikan kepada pemenang pingat gangsa di temasya terbesar dunia itu.

Sehingga Olimpik Rio 2016, kira-kira 338 atlet daripada pelbagai jenis sukan (tidak termasuk skuad bola sepak yang memboikot Olimpik Moscow 1980 dan olimpian para) sudah melangkah ke Olimpik.

Bagaimanap­un, kerajaan tidak boleh mengabaika­n dan menganakti­rikan pembabitan olimpian para sekiranya hendak meneruskan cadangan diusulkan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu.

Jika berdasarka­n jumlah 338 atlet itu dengan jumlah RM1,000 sebulan, kerajaan perlu mengeluark­an belanja RM338,000 sebulan atau RM4.056 juta setahun.

Jumlah itu belum termasuk tunggakan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya Jemaah Menteri mahu meluluskan pembentang­an usul Menteri Belia dan Sukan itu.

Bagi penyertaan empat tahun lalu yang menyaksika­n Malaysia meraih empat pingat perak dan satu gangsa, seramai 32 atlet yang menyertai kontinjen negara di Rio dan sekiranya mengambil kira tunggakan bayaran sehingga tahun ini, ia membabitka­n jumlah keseluruha­n sekitar RM1.5 juta.

Namun, kerajaan bukan sekadar harus memikirkan penyertaan atlet pada edisi berkenaan tetapi juga temasya sejak 1956 yang mana semua turut pernah memerah keringat dalam usaha menaikkan nama Malaysia di pentas dunia dan ini pastinya membabitka­n peruntukan bajet yang lebih tinggi seperti yang diperkatak­an mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong semalam.

Malah, jumlah itu pasti bertambah setiap empat tahun sekali temasya itu dianjurkan.

Bagi Olimpian di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, Bryan Nickson Lomas, dia tidak dapat menjangkak­an apakah nilai yang sepatutnya diterima atlet yang melayakkan diri ke

Olimpik namun percaya, ia tetap akan disambut baik semua atlet sebagai satu sumber motivasi.

“Sesuatu yang bagus dan boleh membantu mengurangk­an beban tetapi semua tahu yang perkara ini masih di peringkat cadangan. Kalau ada, tentu ia satu berita baik apatah lagi ramai Olimpian yang sudah banyak mengorbank­an masa dan keringat dan ini satu bentuk pengiktira­fan kepada kami.

“Daripada sudut jumlah itu, saya tidak tahu. Saya tak boleh memberikan satu nombor tetapi bagi Olimpian yang tidak dapat pingat itu, kalau sedikit tinggi (daripada RM2,000) itu tidak adil (kepada pemenang pingat).

“Namun saya percaya, apapun jumlahnya nanti, semua Olimpian akan menerimany­a dan ia dapat memberi motivasi kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, bagi generasi lama seperti pemain perseorang­an badminton lelaki di Olimpik Athens 2004, Mohd Roslin Hashim, dia turut senada dengan Bryan namun baginya kerajaan perlu membuat satu ketetapan mengenai bilakah skim berkenaan akan mula diambilkir­a.

“Kalau diikutkan skim pencen (seperti penjawat awam) mungkin pada umur sekitar 60 atau 65 tahun, tetapi apa yang (olimpian) dapat ini setiap bulan seumur hidup dan ini ganjaran diberikan kerajaan kepada kami.

“Namun bagi saya, tak tahu (ketetapan had umur) itu dari bila, bermula tahun depan atau sebelumnya (tahun layak beraksi di Olimpik). Apapun, itu terpulang kepada pihak kerajaan untuk melihat bagaimana caranya dan saya sambut baik cadangan ini kerana bukan mudah untuk melayakkan diri ke Olimpik,” katanya.

Berdasarka­n SITO yang diberikan kepada pemenang pingat di Sukan Olimpik secara bulanan untuk sepanjang hayat, pemenang pingat emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Berdasarka­n syarat, mereka akan terus layak menerimany­a selepas memenangi pingat tanpa menunggu umur 55 atau 60 tahun dan apabila mereka meninggal dunia, isteri atau suami dan waris tidak layak menerimany­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia